Jadikan Pantai Padang Kemunting santuari penyu

Masa Membaca:2 Minit, 18 Saat

TANJUNG BIDARA 31 Mac – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh hari ini mencadangkan kerajaan negeri mewartakan Pantai Padang Kemunting, di sini sebagai kawasan santuari penyu bagi menggalakkan lebih banyak penyu karah naik ke pantai untuk bertelur.

Selain membantu mengelakkan haiwan marin itu pupus, ia turut membantu memajukan industri pelancongan di pantai berkenaan dan pantai berhampirannya seperti pantai Pengkalan Balak dan Tanjung Bidara.

Katanya, usaha menyelamatkan penyu karah amat penting kerana Pantai Padang Kemunting dan beberapa pantai lain dikenal pasti sebagai kawasan pendaratan penyu karah untuk bertelur.

ABD RAUF (kanan sekali) berbincang dengan hadirin program program Tanam Pokok, Selamatkan Penyu di pantai Padang Kemunting, Masjid Tanah.

“Kita harus mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Pulau Upeh dekat Klebang yang sebelum ini popular sebagai kawasan pendaratan penyu karah tetapi sekarang semakin kurang penyu mendarat akibat pantai mengalami hakisan teruk.

“Kita juga harus mengambil iktibar penyu belimbing yang semakin pupus di negara kita,” katanya berucap pada program ‘Tanam Pokok, Selamatkan Penyu’ anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Tanjung Bidara di pantai itu hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Md Rawi Mahmud dan Pengurus Pemuliharaan Penyu Karah Semenanjung World Wildlife Fund-Malaysia (WWF-Malaysia), Lau Min Min.

Ab Rauf, Md Rawi dan Min Min menanam beberapa pokok di pantai berkenaan bagi membantu memelihara pantai daripada hakisan selain mengurangkan kesan cahaya di kawasan pantai, sekali gus menggalakkan penyu naik ke darat untuk bertelur.

Jabatan Perikanan Melaka merekodkan 182 pendaratan penyu di negeri ini dari Januari hingga Mei tahun lalu berbanding hanya 106 dalam tempoh yang sama pada 2019.

Purata antara 400 hingga 500 sarang penyu karah dicatatkan di negeri ini setahun dengan Pantai Padang Kemunting mencatatkan lebih 100 pendaratan, iaitu yang tertinggi berbanding di kawasan lain, sekali gus menjadikannya menyumbang 25 hingga 30 peratus daripada keseluruhan pendaratan di negeri ini.

MIN Min (kanan) dan pengusaha chalet, Mawar Seroja Minhat menanam pokok pada program Tanam Pokok, Selamatkan Penyu di pantai Padang Kemunting, Masjid Tanah bagi membantu mengurangkan hakisan pantai dan mengurangkan kesan cahaya di kawasan pendaratan penyu karah.

Sementara itu, Min Min merayu sumbangan lampu mesra penyu kepada WWF-Malaysia) daripada syarikat swasta dan ahli korporat bagi menggantikan lampu jalan konvensional di Pantai Padang Kemunting.

Beliau berkata, lampu berkenaan membabitkan kos yang tinggi kerana perlu diimport berikutan ketiadaan syarikat tempatan yang mengeluarkannya.

“Lampu itu bernilai tinggi kerana terpaksa diimport dan WWF-Malaysia hanya memerlukan 20 batang lampu.

“Ia perlu dipasang di pantai ini kerana lampu konvensional sedia ada milik Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) terlalu terang dan menakutkan penyu naik ke darat untuk bertelur,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1336
Kongsi :
Previous post ‘Kudung’ jari manis diserang babi hutan ketika petik serai
Next post Tergamaknya! pasangan kekasih ditahan disyaki buang bayi
Ubah saiz-+=