Jailani ketua penerangan baharu UMNO Bahagian Alor Gajah

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

SELANDAR 2 Jan. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis, hari ini dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Alor Gajah menggantikan Senator Datuk Ismail Ibrahim yang sebelum ini memangku jawatan tersebut.

Jailani yang juga Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri diumumkan menyandang jawatan tersebut selepas mengambil kira kedudukan beliau sebagai anggota kerajaan negeri.

Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan ketika ditemui berkata, pelantikan sebagai Ketua Penerangan itu didorong pengalaman Jailani semasa berada dalam UMNO selain percaya beliau masih berjiwa UMNO walaupun pernah meninggalkan parti tersebut.

Katanya, dengan penyertaan Jailani diharap dapat menguatkan lagi kedudukan UMNO Bahagian Alor Gajah terutama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

“UMNO Alor Gajah berlapang dada dan mengalu-alukan sesiapa sahaja yang pernah keluar UMNO dan mahu kembali semula ke ke pangkuan UMNO.

“Penyertaan Jailani bersama UMNO diharap dapat mengurangkan krisis ketidakstabilan politik supaya masyarakat tidak terus terbelenggu dengan berbagai persepsi terhadap wakil rakyat yang tidak mempunyai parti selepas pembubaran Pakatan Harapan (PH) di Melaka pada tahun lalu.

“Kerajaan Negeri Melaka termasuk di UMNO Bahagian Alor Gajah juga harus memastikan aspirasi rakyat benar-benar direalisasikan dengan melaksanakan tanggungjawab kepada semua rakyat tanpa sebarang prejudis,” katanya semasa berucap dalam Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Alor Gajah, dekat sini, hari ini.

Tambah Ghafaar lagi, pelantikan Jailani juga harus segera berperanan dalam menangani sokongan rakyat kepada UMNO dan Perikatan Nasional (PN) dalam berbagai agenda termasuk menangani kelembapan ekonomi pasca COVID-19.

Views:

7221
Kongsi :
Previous post Amaran cuaca hujan amat lebat di beberapa kawasan di Johor dan Pahang
Next post Warga emas maut dirempuh Myvi
Ubah saiz-+=