JAIM arah dua lelaki henti kutip derma depan bank

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

LENDU 16 April – Dua lelaki yang mengutip derma dengan meletakkan tabung di kaki lima hadapan sebuah bank di pekan Masjid Tanah, di sini, diarahkan menghentikan tindakan itu serta merta.

Mereka diarahkan berbuat demikian oleh sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasaan Syariah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang diketuai Hafizullah Ahmad.

Ketika disoal siasat, mereka memaklumkan tidak tahu prosedur yang betul untuk mengutip derma yang didakwa bagi tujuan pembinaan masjid dan pusat tahfiz al-Quran.

Ketika pemeriksaan jam 11 pagi tadi, penguat kuasa JAIM turut meneliti dokumen dikemukakan kedua-dua lelaki terbabit kononnya daripada pihak pengurusan masjid dan pusat tahfiz.

Namun kedua-dua lelaki itu gagal mengemukakan dokumen kebenaran mengutip derma dikeluarkan JAIM bagi membolehkan mereka mengutip derma melalui kaedah meletakkan tabung di kaki lima bank.

Hafizullah memberikan amaran lisan kepada kedua-dua lelaki terbabit supaya tidak mengulangi tindakan seumpama itu sebelum mengarahkan mereka segera beredar.

Ketika ditemui selepas itu, Hafizullah menjelaskan, pemungut derma terbabit tidak memiliki dokumen kebenaran untuk mengutip derma melalui kaedah meletakkan tabung.

“Selain itu, mereka tidak memiliki surat kebenaran mengutip derma yang dikeluarkan masjid atau pusat tahfiz yang ada menyatakan nama si pemungut derma (dalam surat itu).

“Kami akan terus mengadakan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada pihak mencuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan daripada kemurahan hati anggota komuniti terutama pada Ramadan,” katanya.

Mengikut Seksyen 94 (4) dan (5) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002, sesiapa yang disabitkan kesalahan mengutip derma tanpa kebenaran JAIM boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, anggota komuniti yang bermurah hati untuk menderma dinasihatkan supaya memastikan pemungut derma mempunyai kad kuasa pungutan khairat yang dikeluarkan JAIM.

Beliau berkata, umat Islam digalakkan menghulurkan derma secara terus kepada institusi yang diiktiraf seperti masjid dan surau.

Pemantauan turut dibuat terhadap institusi dan pertubuhan yang mendapat kebenaran menjalankan pungutan derma atau khairat bagi mengelakkan penyelewengan dan penyalahgunaan kebenaran diberikan kepada mereka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1472
Kongsi :
Previous post Guru dihanyut aerus sungai dikhuatiri lemas di Setiu
Next post Rakyat boleh pulang ke kampung beraya – Ismail Sabri
Ubah saiz-+=