JAKOA tidak pinggir nasib Orang Asli Bukit Sedanan

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

MACHAP 28 Jan. – Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Melaka tidak boleh sewenang-wenangnya membina kemudahan kekal termasuk bekalan air terawat dan elektrik di dalam di kawasan yang telah diwartakan sebagai Tanah Rizab Hutan.

Pegawai Kemajuan Orang Asli Negeri Melaka Adzrien Ab Rahim berkata, kekangan itu termasuklah membangunkan kemudahan di penempatan sementara orang asli yang tidak diwartakan sebagaimana di 14 penempatan rasmi Orang Asli di Melaka.

“Dalam kes di penempatan sementara Orang Asli di Hutan Simpan Bukit Sedanan ini, ia asalnya adalah kawasan rayau tradisi mereka yang berasal daripada Kampung Orang Asli Kubang Badak, Selandar berhampiran.

“Awalnya mereka hanya bercucuk tanam di sini, tapi lama kelamaan mereka sudah mula membina pondok sehingga terus menjadikan kawasan penempatan enam buah rumah,” katanya ketika ditemui media di sini semalam.

ADZRIEN Ab Rahim

Menurut beliau, di Melaka sahaja, JAKOA bertanggungjawab terhadap 14 buah kampung Orang Asli iaitu masing-masing lapan dan enam di daerah Alor Gajah dan Jasin.

“Semua perkampungan ini mempunyai rumah yang lengkap dengan kemudahan elektrik dan air bersih malah kita menjaga semua aspek kebajikan mereka terutamanya dari sudut pendidikan selain ekonomi.

“Namun bagi kes di Orang Asli di Hutan Simpan Bukit Sedanan ini, kita juga masih menjaga kebajikan mereka dan masih memujuk mereka supaya berpindah ke perkampungan yang telah diwartakan bagi memudahkan agihan bantuan kerajaan,” katanya.

Terdahulu, seramai 15 penduduk Orang Asli berkenaan menerima kunjungan daripada Barisan Nasional dan UMNO diketuai Pegawai Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Mohd Yusof Abu Hassan.

Turut sama adalah Penyelaras Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Machap Jaya Datuk Rospandi Leman, Pegawai Kemajuan JAKOA Melaka, Adzrien Ab Rahim dan wakil dan wakil daripada Jabatan Perhutanan Melaka.

Mengulas lanjut, Adzrien berkata pihaknya juga kini sedang sedang dalam proses melengkapkan dokumentasi untuk mendapatkan permit penggunaan tanah daripada Jabatan Perhutanan.

“Permit ini adalah untuk kebenaran secara rasmi daripada Jabatan Perhutanan untuk Orang Asli di sini menjalankan aktiviti pertanian dan lain-lain aktiviti di hutan simpan berkenaan tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan undang-undang.

“Ini juga membuktikan kita tidak pernah meminggirkan nasib mana-mana masyarakat Orang Asli di negara ini,” katanya.

Sementara itu Mohd Yusof berkata, UMNO dan BN Melaka akan membawa perkara itu ke peringkat kerajaan negeri untuk melihat keperluan dan bantuan segera yang boleh diberikan.

“Saya yakin, Pengerusi BN Melaka (Datuk Seri Ab Rauf Yusoh) juga akan mengangkat isu rakyat ini untuk diberi perhatian terutamanya dalam aspek pendidikan anak-anak Orang Asli Melaka ini,”katanya.

Views:

1308
Kongsi :
Previous post Prihatin peniaga, UiTM lanjut pengecualian sewa premis enam bulan lagi
Next post Pengguna lega, harga bawang makin murah
Ubah saiz-+=