Pengguna lega, harga bawang makin murah

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

LENDU 28 Jan. – Pengguna menarik nafas lega berikutan penurunan harga bawang di pasaran sejak beberapa hari lalu berbanding kenaikan harga mendadak pada Disember lalu.

Jika sebelum ini mereka terpaksa membeli bawang besar pada harga antara RM7 hingga RM8 sekilogram, kini hanya perlu membayar RM4.50.

Penurunan harga bawang berkenaan turut melegakan peruncit yang sebelum ini terpaksa menaikkan harga berikutan harga borong yang ditawarkan pembekal meningkat dengan ketara.

Pengguna, Nadzri Mansor, 47, berkata dia agak terkejut apabila mendapati harga bawang besar hari ini turun kepada RM4.50 sekilogram.

“Alhamdulillah, harga bawang sudah turun dan saya boleh membeli lebih daripada sekilogram hari ini berbanding hanya setengah kilogram sebelum ini kerana harga tinggi,” katanya ketika ditemui membeli bawang besar di kedai runcit Shamsul Bokhari Abdul Ghani di Kampung Solok Duku, di sini, semalam.

Shamsul, 56, berkata, dia terpaksa menaikkan harga bawang besar kepada antara RM7 hingga RM8 sekilogram sebelum ini berikutan harga tinggi yang ditawarkan pembekal.

“Sebelum ini, harga bagi sekarung bawang besar sembilan kilogram ialah RM52 tetapi sejak dua hari lalu, harganya turun kepada RM21.

“Jika semasa harga borong naik, saya terpaksa jual pada harga tinggi dan terpaksa jelaskan kepada pelanggan tetapi sekarang harga sudah turun mendadak kepada hanya RM4.50 sekilogram,” katanya.

Dia berkata, kenaikan dan penurunan harga bawang bergantung kepada pemborong yang juga amat terkesan dengan harga yang ditawarkan pengimport kerana bekalan bawang dikuasai sepenuhnya beberapa negara pengeluar.

Semalam Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dilaporkan berkata, bekalan dan harga bawang kini kembali stabil serta mencukupi hingga Ogos depan.

Views:

860
Kongsi :
Previous post JAKOA tidak pinggir nasib Orang Asli Bukit Sedanan
Next post Nasib dua warga emas ‘tersisih’ dapat pembelaan kerajaan negeri
Ubah saiz-+=