
JALUR GEMILANG BERKIBAR MEGAH, BUKTI PERPADUAN KAUM FELDA HUTAN PERCHA
MACHAP JAYA 27 Ogos – Jalur Gemilang tanda negara mereka dan berdaulat berkibar megah menjadi cerminan perpaduan serta kesepakatan penduduk pelbagai kaum di Felda Kampung Hutan Percha.
Lebih manis apabila tiang mengibarkan Jalur Gemilang itu didirikan bersama-sama oleh tangan penduduk berketurunan Melayu, Cina, India dan tidak ketinggalan masyarakat Orang Asli secara bergotong-royong demi membuktikan bahawa mereka amat sayangkan keamanan dikecapi.
Selain kibaran Jalur Gemilang empat laman khas iaitu Puncak Ramai, Kasih Sayang, Muafakat dan Nostalgia juga dihias dengan tema yang menggambarkan perpaduan serta semangat patriotisme.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Hutan Percha, Nizam Baharom berkata, perkara itu sudah menjadi amalan penduduk setiap kali tibanya sambutan Kebangsaan sejak tiga tahun lalu.

“Alhamdulillah semangat cintakan negara dalam kalangan penduduk di Felda Hutan Percha amat tebal, masuk Ogos sahaja penduduk sudah bersedia untuk bergotong-royong menghias kawasan ini dengan Jalur Gemilang. Semuanya dilakukan atas inisiatif sendiri malah peruntukan membeli keperluan untuk membuat hiasan seperti cat, kain, paip termasuk kos Jalur Gemilang disumbangkan secara sukarela.
“Kerja-kerja menghias dan mengibarkan Jalur Gemilang ini dimulakan pada minggu kedua Ogos oleh penduduk sama ada sebelah petang atau waktu lapang. Dianggarkan perbelanjaan keseluruhan untuk menyiapkan hiasan dan membeli Jalur Gemilang berjumlah RM10,000,” katanya ketika ditemui di Felda Hutan Percha, hari ini.
Menurut Nizam, kesepakatan dalam kalangan penduduk yang bersungguh-sungguh mengindah dan menceriakan kampung turut membawa berita gembira apabila kawasan felda itu dinobatkan sebagai johan pertandingan Landskap Terbaik Negara pada Jun lalu selain disusuli beberapa pencapaian lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.