‘Jambatan berbahaya tunggu masa’

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER LIMAU 4 Mac. – Penduduk Kampung Pinang, di sini, bimbang jambatan menghubungkan kampung itu dengan Kampung Lekok semakin diancam bahaya berikutan kerosakan strukturnya.

Kerosakan itu bukan setakat membabitkan besi penghadang di kiri dan kanan jambatan, malah lubang yang terbentuk di pangkal jambatan di sebelah Kampung Lekok, semakin meluas.

Penduduk, Mohd Tairudin Md Dom, 55, mendakwa jambatan itu dipercayai masih kukuh dari aspek struktur asasnya tetapi besi penghadang di kiri dan kanan sudah terlalu uzur.

MOHD TAIRUDIN menunjukkan lubang semakin meluas di pangkal jambatan dari arah Kampung Lekok ke Kampung Pinang, Ayer Limau.

“Kalau kita datang dari arah Kampung Pinang ke Kampung Lekok, besi penghadang sebelah kiri sudah runtuh manakala yang di sebelah kanan sudah terlalu uzur.

“Selain itu, ada lubang yang terbentuk di bahagian pangkal jambatan dari arah Kampung Lekok dan semakin membesar dari semasa ke semasa dan dibimbangi menjejaskan keseluruhan struktur jambatan,” katanya ketika ditemui di Kampung Pinang hari ini.

Beliau mendakwa, kerosakan besi penghadang itu sudah berlanjutan sejak beberapa tahun lalu dan dikhuatiri mengancam nyawa pengguna jalan kampung yang melalui jambatan itu.

Mohd Tairudin yang menjalankan perniagaan petai di Pasar Masjid Tanah mendakwa, laluan berkenaan tidak disediakan lampu jalan, sekali gus menyebabkan pengguna jalan terdedah kepada risiko terjunam ke dalam anak sungai pada waktu malam.

“Kalau ada besi penghadang di kiri dan kanan jambatan yang kukuh, saya percaya insya-Allah kereta atau motosikal yang terbabas boleh tertahan di besi itu,” katanya meminta pihak berkuasa segera mengambil tindakan menjalankan kerja pembaikan sebelum kemalangan berlaku.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Amiruddin Yusof berkata, Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Limau sudah sedia maklum mengenai keadaan jambatan itu.

“JAPERUN akan membuat tindakan susulan dengan Pejabat Daerah Alor Gajah bagi menjalankan kerja pembaikan.

“Saya amat berharap, sementara menunggu kerja pembaikan dijalankan, pengguna jalan berhati-hati ketika melalui jambatan itu, terutama pada waktu malam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1443
Kongsi :
Previous post Dadah bernilai RM932,288 dirampas di N. Sembilan dan Melaka
Next post Ahli perniagaan dicekup guna gelaran palsu
Ubah saiz-+=