Sorting by

×

Jambu Manis Melaka bakal jadi ikon baharu produk pertanian

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

RIM 15 Sept – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bercadang untuk menjenamakan jambu batu lohan yang diusahakan di Pulau Gadong dengan nama baharu lebih komersial.

Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Datuk Wira Ghazale Muhamad berkata, antara nama dicadangkan ialah Jambu Manis Melaka yang mana ia akan diusul serta dibawa ke pengetahuan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Katanya, jambu batu itu cukup unik selain mempunyai tekstur rangup dan rasanya lebih manis hasil teknik terbaharu yang diusahakan seorang anak muda yang hilang pekerjaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lalu.

GHAZALE (tengah) menunjukkan jambu batu diusahakan di Melaka yang menjadi antara produk jualan di Pasar Tani Jasin.

“Produk ini ditemukan di musim PKP yang mana pengusahanya adalah seorang bekas kontraktor hilang pekerjaan dan mengambil keputusan untuk bertani di atas tanah milik orang berkeluasan 4.86 hektar di Pulau Gadong.

“Pada awalnya ia kurang menjadi, namun berkat usaha kerasnya, kini dia mampu menghasilkan 40 metrik tan jambu batu itu dalam tempoh setahun sahaja.

“Jadi, saya percaya kalau jambu batu ini dijenamakan dan dikomersialkan, ia bakal menjadi satu ikon baharu produk buah-buahan di Melaka,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pasar Tani Jasin, di sini, hari ini.

Justeru, Ghazale menyeru lebih ramai anak muda di negeri ini tidak takut menceburkan diri dalam bidang pertanian kerana ia antara cabang yang boleh menjana pendapatan lumayan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1887
Kongsi :
Previous post Doktor kontrak dipertimbang lanjut pelajaran peringkat pakar setara HLP
Next post Sekolah dibuka secara berfasa petunjuk negara ke arah endemik
Ubah saiz-+=