Sorting by

×

JANGAN ‘GHAIRAH’ KUTIP KERANG SAMPAI LUPA KESELAMATAN DIRI – DATUK BANDAR MBMB

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

KLEBANG 22 Oktober – Orang ramai dinasihatkan agar lebih peka terhadap aspek keselamatan dan kebersihan sepanjang Pantai Klebang ketika menjalankan aktiviti mengutip kerang.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata pihaknya tidak melarang aktiviti mencari kerang, namun menegaskan keselamatan diri dan kebersihan kawasan pantai perlu diutamakan.

Tambah Shadan, menerusi tinjauannya ke lokasi itu baru-baru ini beliau mendapati lebih 100 individu terbabit dalam aktiviti mencari kerang pada satu-satu masa sekitar Pantai Klebang.

“Kita faham aktiviti ini menjadi tarikan dan sumber rezeki kepada penduduk setempat, tetapi mereka perlu bertanggungjawab menjaga kebersihan serta keselamatan diri sendiri.

“Ada antara mereka terlalu ‘ghairah’ mencari hasil kerang sehingga sanggup masuk jauh ke kawasan lumpur yang boleh membahayakan diri, terdapat juga peraih yang turun ke pantai sehingga jam 2 ke 3 pagi.

“Kita tidak melarang namun mengingatkan supaya orang ramai tidak terlalu leka dengan hasil yang diperoleh hingga mengabaikan aspek keselamatan dan menjaga imej kebersihan pantai yang menjadi tumpuan pelancong,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Shadan berkata selain aspek keselamatan, MBMB juga menerima aduan mengenai isu sampah sarap dan kebersihan awam yang tercemar akibat aktiviti tersebut.

Tambahnya, apabila lokasi tersebut menjadi tumpuan, jumlah penjaja dan peniaga kecil turut bertambah.

“Kita dapati ada antara mereka (orang awam) membuang bekas makanan merata-rata dan menggunakan tandas awam untuk mandi selepas meraih kerang hingga menyebabkan kemudahan awam ini kotor, sekali gus menimbulkan ketidakselesaan pengunjung.

“Saya sudah mengarahkan anggota penguatkuasa MBMB memantau kawasan berkenaan dan tindakan kompaun boleh dikenakan jika didapati ada yang membuang sampah sewenang-wenangnya,”tegasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1142
Kongsi :
Previous post WRUR DURIAN TUNGGAL BAWA KELAINAN, TAMPIL ‘EXCO ANGKAT’ SETIAP KAMPUNG