Sorting by

×

Jangan perjudikan nyawa, nasihat MMA kepada individu belum divaksin

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa individu yang belum divaksin terutamanya warga emas dan yang mempunyai komorbiditi supaya tidak memperjudikan nyawa mereka agar segera mendapatkan vaksin untuk perlindungan maksimum terhadap COVID-19.

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata walaupun gejala COVID-19 dengan varian Omicron kebanyakannya ringan, ia tidak selalu berlaku, apatah lagi jika sistem imun semula jadi seseorang itu lemah.

“Masih ada kemungkinan gejala yang teruk apabila dijangkiti virus, walaupun mereka telah divaksinasi, apatah lagi mereka yang belum menerima suntikan utama,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dr Koh juga mengingatkan warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi supaya tidak berlengah lagi dan berjumpa doktor keluarga mereka jika mempunyai sebarang ketidakpastian.

Koh berkata langkah ProtectHealth menyediakan perkhidmatan vaksin di rumah kepada warga emas yang tidak dapat pergi ke pusat vaksin amat dihargai namun mungkin sudah terlambat bagi orang ramai menggunakan perkhidmatan ini dalam masa yang singkat.

“Walaupun warga emas itu mungkin berada di rumah sendiri atau pusat jagaan, penjaga perlu hadir semasa vaksinasi,” katanya.

Selain itu, katanya bukti telah menunjukkan mereka yang telah divaksinasi dengan dua dos vaksin Sinovac memerlukan dos penggalak untuk memastikan tahap imuniti yang mencukupi terutamanya mereka yang berumur serta yang mempunyai komorbiditi.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

515
Kongsi :
Previous post MINDEF, KDN laksana pelan induk komprehensif kawal sempadan negara
Next post Bekas isteri setia jaga Amran Tompel sehingga akhir hayat
Ubah saiz-+=