MINDEF, KDN laksana pelan induk komprehensif kawal sempadan negara

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan pelan induk komprehensif bagi mengawal sempadan negara daripada dicerobohi, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata isu melibatkan kawalan sempadan dan pertahanan negara tidak boleh diserah kepada satu kementerian sahaja.

“Jadi, apabila kita hendak mempertahankan sempadan negara yang sangat besar, kita perlukan semua pihak bekerjasama. Sebab itu, kita laksanakan pelan induk yang komprehensif untuk (menjaga) sempadan (yang melibatkan) Kementerian Pertahanan dan KDN.

“Kita kena bergabung, kita boleh lihat sejak dua tahun lepas di dalam Op Benteng yang dilaksanakan dan ia membuktikan kejayaan gabungan antara kedua-dua kementerian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selepas meninjau persiapan pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Perkhidmatan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Sementara itu, Hishammuddin berkata perkara yang dirancang antara kedua-dua kementerian itu akan dilapor kepada Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Ia juga melibatkan semua agensi perisikan, Panglima Angkatan Tentera (Jen Tan Sri Affendi Buang) dan Ketua Polis Negara (Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani) dan (ada) perkara yang tidak boleh kita umum tetapi percayalah gandingan dan gabungan yang dilakukan ini akhirnya akan diputuskan hala tujunya oleh pihak yang tertinggi dalam negara kita,” katanya.

Mengulas mengenai DSA, Hamzah berkata ia memberi peluang untuk melihat teknologi baharu dan pada masa sama meninjau kelengkapan serta aset baharu yang boleh dinaik taraf untuk digunakan agensi di bawah kementerian itu.

“KDN ini bukan hanya melibatkan Polis Diraja Malaysia tetapi juga Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan agensi lain yang sebenarnya sedang menanti untuk aset-aset mereka dinaik taraf,” katanya.

DSA dan NATSEC Asia 2022 yang dijadual bermula esok hingga 31 Mac terbuka kepada delegasi peringkat tinggi, kakitangan kerajaan, profesional dan eksekutif dalam industri pertahanan dan keselamatan serta polis dan agensi penguatkuasaan sahaja.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

624
Kongsi :
Previous post Polis tidak tolak ansur dengan mana-mana individu terlibat dadah
Next post Jangan perjudikan nyawa, nasihat MMA kepada individu belum divaksin
Ubah saiz-+=