Jangan terus selesa, kakitangan awam perlu terus berinovasi dalam perkhidmatan

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

BANDA HILIR 14 Julai – Kakitangan awam di negeri ini diingatkan agar tidak terlalu selesa sebaliknya perlu menjadikan penyelesaian kreatif sebagai budaya kerja.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, inovasi dan budaya kerja berprestasi tinggi perlu ditingkatkan dalam kalangan kakitangan awam khusus dengan memanfaatkan penggunaan teknologi tertinggi.

Katanya, perkara itu merupakan tunjang utama dalam Pelan Stategik Jabatan Ketua Menteri Melaka 2022-2026 yang menggariskan teras strategik dalam sistem penyampaian perkhidmatan kakitangan awam.

“Sebagai penanda aras dalam prestasi kerja tahunan setiap jabatan di agensi perlu membangunkan pelan strategik masing-masing.

“Perkhidmatan awam yang berkesan mestilah berpaksikan rakyat atau dalam terma global yang lebih popular ‘citizen-centric’ dengan memastikan perkhidmatan yang diberikan mengikut apa yang dihasratkan oleh rakyat.

“Usaha itu termasuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan secara inklusif melalui penambahbaikan berterusan sehingga terhasilnya produk inovasi yang boleh diketengahkan untuk penyelidikan danpembangunan (R&D) untuk dipaten serta dikomersialkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik Jabatan Ketua Menteri Melaka 2022-2026 dan Anugerah Hari Inovasi Perkhidmatan Awam Negeri Melaka 2022 di Hotel Holiday Inn, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari serta tetamu lain.

Bercakap ketika ditemui pemberita, Sulaiman turut berkata perkongsian pintar dalam kalangan kakitangan awam perlu dilaksanakan agar mampu memperkasa perkhidmatan itu kepada rakyat.

Beliau turut menasihatkan sistem maklumat yang diperoleh dari seluruh agensi perlulah tepat dan sampai secara terus kepada rakyat.

“Pencapaian sistem maklumat ini mesti sampai ke bawah, ke peringkat akar umbi sampailah ke telinga rakyat, ia juga membabitkan apa jua perkara-perkara yang kita telah rancang mesti dimaklumkan kepada telinga rakyat,” katanya.

Terdahulu dalam program diadakan itu beberapa pengiktirafan telah dianugerahkan kepada agensi terlibat yang telah menjayakan produk inovasi bagi memperkasa perhidmatan awam.

Dalam anugerah dinobatkan itu sebanyak lima kategori telah diumumkam dengan penyertaan sebanyak 17 kumpulan dari pelbagai agensi membabitkan 110 penyertaan pegawai dan kakitangan awam negeri.

Augerah Inovasi Kerajaan Negeri yang merupakan anugerah utama itu telah menobatkan Jabatan Kerja Raya Melaka sebagai penerima anugerah utama telah membawa pulangan RM8,000 berserta sijil dan piala iringan disampaikan Sulaiman.

Antara kategori lain adalah Anugerah Penciptaan Bari ICT, Penciptaan Baru Bukan ICT, Penambahbaikan ICT dan Penambahbaikan Bukan ICT.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1025
Kongsi :
Previous post LTAM mula beroperasi 12 Ogos, rancakkan pelancongan Melaka
Next post Operasi perjalanan Feri Dumai – Melaka, Bengkalis – Melaka ditingkatkan
Ubah saiz-+=