LTAM mula beroperasi 12 Ogos, rancakkan pelancongan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 14 Julai – Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) dibuka semula secara rasmi 12 Ogos ini dengan operasi penerbangan diaktifkan dari Melaka – Pekanbaru, Indonesia dan Melaka-Pulau Pinang menggunakan pesawat Batik Air.

EXCO Pelancongan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata kedua-dua destinasi dari negeri itu akan membawa penumpang menggunakan pesawat ATR-72 dengan jadual penerbangan dijangka tiga kali seminggu.

Katanya, jadual penerbangan itu dimaklumkan kepada kerajaan negeri pada Isnin minggu lalu dan pihaknya telah mengadakan mesyuarat bersama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) ; Malindo Air dan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) untuk memulakan operasi berkenaan.

“Saranan daripada kerajaan negeri adalah penerbangan cater (chartered flight) ini dipercepatkan namun tarikh dipersetujui adalah 12 Ogos ini, dengan jangkaan jadual penerbangan tiga kali seminggu bergantung kepada permintaan tempahan.

“Pada 15 Ogos ini juga akan ada satu penerbangan sewa khas daripada Jakarta ke Melaka yang dijangka membawa pesakit daripada Pulau Jawa manakala 19 Ogos ini terdapat kemungkinan besar penerbangan sewa khas daripada rombongan balas Kerajaan Pekanbaru,” katanya pada sidang media di pejabat Tourism Melaka di sini, hari ini.

Sebelum ini, Melaka Hari Ini (MHI) melaporkan penerbangan dua hala itu akan dikendalikan Batik Air (sebelum ini dikenali sebagai Malindo) sebagaimana dimaklumkan menerusi kenyataan Tourism Melaka.

Harga tiket penerbangan yang ditawarkan ialah bermula dari RM299 sehala dari Melaka -Pekanbaru manakala RM199 sehala bagi penerbangan Melaka – Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata, penerbangan pertama di LTAM itu nanti dijangka akan dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Ujarnya, pembukaan LTAM ini dilihat sebagai satu langkah baik bagi merancakkan semula industri pelancongan di negeri ini yang mana Indonesia merupakan pasaran terbesar pelancong asing melawat Melaka.

“Jika dilihat pada statistik, seramai 552,813 pelancong dari Indonesia mengunjungi Melaka pada tahun 2019 dan kita sasarkan paling tidak sekurang-kurangnya 30,000 orang menggunakan pesawat di LTAM dalam tempoh lima bulan mendatang sebelum berakhirnya 31 Dis 2022.

“Kita rencanakan mudah-mudahan dapat dikembalikan sasaran kita menjelang 2023, seramai 143,000 orang menggunakan LTAM,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1762
Kongsi :
Previous post 1,500 pesilat dunia ‘berkampung’ di Melaka
Next post Jangan terus selesa, kakitangan awam perlu terus berinovasi dalam perkhidmatan
Ubah saiz-+=