1,500 pesilat dunia ‘berkampung’ di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KIRA-KIRA 1,500 pesilat dari seluruh dunia dijangka akan berkampung di Melaka bersempena Festival Pencak Silat Sedunia ke-19 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh pada 21 hingga 31 Julai ini.

Menurut Pengerusi Bersama festival itu Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, antara pengisian festival berkenaan ialah forum, sesi dialog dan pameran mengenai sukan seni mempertahankan diri itu.

Selain itu, katanya turut berlangsung ialah Kejuaraan Silat Dunia iaitu acara silat terbesar yang menampilkan pesilat antarabangsa bagi merebut gelaran juara dunia pada edisi tersebut.

“Jadi kita lihat Melaka telah diberi kepercayaan untuk menganjurkan festival ini yang akan dihadiri kira-kira 1,500 atlet silat dari 34 buah negara.

“Saya percaya kejohanan ini juga akan menjadi satu tarikan terbaharu di Melaka yang mana orang ramai boleh menyaksikan sendiri aksi pesilat dunia pada festival yang berlangsung di MITC itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam mengadakan lawatan kerja ke TKR Manufacturing (Malaysia) Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Tangga Batu, hari ini.

Terdahulu, pada 13 Julai lalu, Ab Rauf telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk dan Pelaksana bersama Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri serta Swasta Bil.1/2022 bersempena festival berkenaan di Dewan Besar MITC.

Mesyuarat itu turut dihadiri Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Datuk Megat Zulkarnain Omardin selaku penganjur bersama kejohanan.

Menurut Ab Rauf, setakat ini persiapan rapi sedang giat dijalankan di MITC bagi memastikan festival dan kejuaraan silat itu berjalan lancar.

Malah, katanya, Menteri Pertahanan (Menhan) Indonesia Prabowo Subianto turut dijangka hadir selama tiga hari bagi memeriahkan festival yang berlangsung itu nanti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2049
Kongsi :
Previous post TKR Manufacturing lebar sayap di Melaka – Ab Rauf
Next post LTAM mula beroperasi 12 Ogos, rancakkan pelancongan Melaka
Ubah saiz-+=