TKR Manufacturing lebar sayap di Melaka – Ab Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

PANTAI KUNDOR 14 Julai – TKR Manufacturing (Malaysia) Sdn Bhd iaitu sebuah kilang elektronik yang sudah bertapak di Melaka selama 34 tahun menyatakan kesediaan untuk mengembangkan operasinya dengan menambah nilai pelaburan di negeri ini.

EXCO Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, nilai sebenar pelaburan itu bagaimanapun masih belum diputuskan memandangkan ia masih di peringkat awal.

Namun apa yang pasti katanya, penambahan sebuah lagi ‘production line’ di kilang berkenaan dapat menambah peluang pekerjaan di Melaka.

“TKR Manufacturing membuktikan mereka sebagai sebuah syarikat yang berdaya maju apabila mampu bertahan selama 34 tahun di Melaka.

“Mereka juga sedang menuju ke arah Industrian Revolution (IR 4.0) untuk meningkatkan kualiti production mereka di masa akan datang.

“Dan kini saya difahamkan mereka bersedia membangunkan sebuah lagi production line bagi proses pembesaran pengeluaran di Melaka yang mana ia akan dapat menambah peluang pekerjaan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengiringi Yang di-Pertua Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam mengadakan lawatan kerja ke kilang berkenaan yang terletak di Kawasan Perindustrian Tangga Batu, di sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Tuminah Kadi dan Pengarah Urusan TKR Manufacturing (Malaysia) Sdn Bhd N Paul.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, TKR Manufacturing yang juga merupakan syarikat dari Jepun kini mempunyai seramai 1,700 pekerja yang mana 70 peratus daripadanya adalah anak tempatan.

Malah lebih membanggakan, katanya, pihak pengurusan syarikat di Tokyo juga telah menyerahkan sepenuhnya pentadbiran dan pengurusan syarikat kepada anak tempatan yang juga berasal dari Melaka.

“Ini bermakna kilang ini mendapat kepercayaan pihak industri dari Jepun untuk menguruskan pentadbiran dan pengurusan kilang ini.

“Kebolehan anak-anak Melaka yang berjaya dalam bidang perindustrian ini sekali gus dapat membina kepercayaan pelabur-pelabur luar untuk melabur di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3956
Kongsi :
Previous post Juruteknik nafi pandu melulu, bayar jaminan RM12,000 dan lesen digantung
Next post 1,500 pesilat dunia ‘berkampung’ di Melaka
Ubah saiz-+=