WhatsApp Image 2022-07-14 at 12.53.52 PM

Juruteknik nafi pandu melulu, bayar jaminan RM12,000 dan lesen digantung

JASIN 14 Julai- Juruteknik kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jasin, di sini, hari ini, atas pertuduhan memandu Perodua Myvi secara melulu hingga menyebabkan kematian pasangan orang kurang upaya (OKU) Jun lalu.

Tertuduh, Amirul Anwar Mohamed Jelani, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Penolong Kanan Pendaftar Siti Khairiah Abdul Razak.

Mengikut pertuduhan, Amirul Anwar didakwa memandu sebuah kenderaan di jalan dengan melulu atau dengan kelajuan merbahaya kepada orang awam, menyebabkan kematian terhadap Ezuddin Mohammad, 50, dan isteri Surayah Muhamat, 46.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Jalan Serkam Pantai, Merlimau, kira-kira jam 7.45 pagi, pada 6 Jun 2022.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 1999) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000.

Terdahulu, prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar, memohon jaminan RM30,000 diberikan kepada tertuduh dan lesen digantung sepanjang perbicaraan berlangsung.

Tertuduh, diwakili peguam Mohd Fadzullah Ramlee, merayu agar jaminan dikurangkan dengan alasan jumlah itu terlalu tinggi dan pemuda terbabit menanggung bapa yang juga bekas imam dan ibu yang kedua-duanya kini tidak sihat.

Menurutnya, kesalahan terbabit mungkin tidak dijangka selain itu bukan budayanya keluar lewat malam.

Siti Khairiah, kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan dua penjamin selain mengarahkan lesen memandu digantung sepanjang perbicaraan dan menetapkan 29 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

62
photo1657773539 Previous post TYT adakan lawatan kerja ke Kilang TKR
photo1657773539 Next post TKR Manufacturing lebar sayap di Melaka – Ab Rauf