JAPERUN Pantai Kundor dibuka Isnin, ADUN beransur sihat

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

PANTAI KUNDOR 25 Sept – Selepas ditutup selama 10 hari mulai 14 September lalu, Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (JAPERUN) Pantai Kundor, Tanjung Kling di sini dijangka kembali beroperasi Isnin ini.

Ia berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan semakin pulih daripada pandemik COVID-19 manakala dua petugas sudah membuka gelang merah jambu dan dua lagi masih menjalani kuarantin kendiri.

Bagaimanapun, Nor Azman masih dirawat di Hospital Melaka manakala dua petugas berkenaan beransur pulih.

Nor Azman, 57, berkata, deria baunya masih belum kembali normal tetapi kadar oksigen dalam badan dan paru-paru dalam keadaan baik.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana tidak mengalami sakit dada yang teruk dan sejak dimasukkan ke hospital Rabu lalu, saya beransur sihat dan berharap dibenarkan keluar wad tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

NOR Azman Hassan

Nor Azman disahkan positif COVID-19 pada 13 September lalu selepas menjalani ujian calit berikutan dua kakitangan JAPERUN itu disahkan positif COVID-19.

Beliau menjalani kuarantin kendiri mulai 13 September lalu tetapi terpaksa dimasukkan ke wad di Hospital Melaka Rabu lalu selepas muntah dan pening.

Berikutan sedang menjalani kuarantin dan rawatan, ADUN terbabit terpaksa menghadiri Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-14 dari Isnin lalu hingga kelmarin secara hybrid.

Ia menjadikan Melaka negeri pertama membenarkan ADUN menghadiri sidang DUN secara maya.

Sementara itu, Setiausaha JAPERUN, Shafiq Majid berkata, dua petugas JAPERUN, masing-masing berusia 30-an dibenarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah untuk membuka gelang merah jambu beberapa hari lalu.

“Dua lagi petugas, juga berusia 30-an masih menjalani kuarantin kendiri dan dijangka dibenarkan membuka gelang masing-masing beberapa hari lagi,” katanya.

Dia berkata, pejabat berkenaan sudah disanitasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, selain sanitasi oleh petugas JAPERUN sendiri minggu lalu.

Esok sekali lagi pejabat berkenaan akan disanitasi oleh bomba bagi memastikan ia benar-benar selamat sebelum beroperasi semula lusa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1515
Kongsi :
Previous post Sektor pelancongan kena bersedia pada bila-bila masa – KM
Next post 82.5 peratus populasi dewasan lengkap vaksin setakat semalam
Ubah saiz-+=