Sorting by

×

JAS ambil 204 tindakan undang-undang terhadap premis gagal patuh AKAS 1974

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

PUTRAJAYA, 14 Julai – Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil 204 tindakan undang-undang ke atas premis perindustrian yang gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) dan Peraturan-Peraturan di bawahnya sepanjang Ops Air Raya yang dilaksanakan antara 1 dan 7 Julai lepas.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata tindakan itu melibatkan pemeriksaan terhadap pelbagai sektor industri antaranya industri penyudahan logam dan salur elektrik, kertas, pengilangan logam, plastik, galian bukan logam, dan penapisan minyak makan.

Tindakan merangkumi 126 kompaun berjumlah RM252,000 yang dikeluarkan, 71 notis arahan, empat penahanan operasi kelengkapan dan tiga kes untuk penyediaan kertas siasatan bagi tujuan pendakwaan, katanya.

“Antara kesalahan yang sering dilakukan adalah gagal menguruskan buangan terjadual (BT) sepertimana yang dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ops Air Raya itu melibatkan kekuatan 86 pasukan penguat kuasa merangkumi 235 anggota penguat kuasa JAS dari seluruh negara dengan kerjasama penguat kuasa pelbagai agensi di peringkat kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, antaranya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Wan Abdul Latiff berkata pengurusan BT perlu diberi perhatian yang serius mengikut undang-undang dan garis panduan serta dikitar semula, diperoleh kembali atau dilupuskan di premis yang dilesenkan oleh JAS sahaja.

“BT boleh mendatangkan risiko kesihatan kepada manusia serta menyebabkan pencemaran air, udara dan tanah,” katanya sambil menegaskan pihak industri dilarang sama sekali melupuskan buangan terjadual secara haram.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1053
Kongsi :
Previous post Tajuk-tajuk Utama Akhbar – Khamis, 14 Julai 2022
Next post Empat sekeluarga maut: Pemandu treler direman tiga hari
Ubah saiz-+=