Jasin diiktiraf antara 10 Bandar Paling Bahagia dua tahun berturut-turut

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

AYER KEROH 3 Jun – Pengiktirafan bandar Jasin sebagai antara 10 Bandar Paling Bahagia 2019 buat kali kedua tidak akan dikecapi tanpa kerjasama daripada rakyat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan.

Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) diiktraf oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia dua tahun berturut-turut pada tahun 2018 dan 2019.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin, Datin Sapiah Haron berkata, pengiktirafan yang diberikan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Jabatan Perancang Bandar dan Desa (PLANMalaysia) adalah hasil kaji selidik antara PBT, rakyat tempatan dan agensi kerajaan yang berkaitan.

Katanya, kerjasama yang diberikan antara mereka membuktikan rakyat dan PBT serta agensi berkaitan sangat memuaskan sehingga pengiktirafan diperolehi untuk kali kedua berturut-turut.

“Syukur kepada Allah SWT kerana anugerah itu adalah komitmen daripada semua, bukan daripada pihak majlis (MPJ) sahaja, sebaliknya komitmen masyarakat juga.

“Segala soalan kaji selidik disediakan oleh PLANMalaysia dengan mengedarkan 1,000 borang dan kita edarkan kepada semua golongan masyarakat termasuk peniaga, penduduk, NGO (badan bukan kerajaan) untuk membuat kaji selidik terbabit.

“Jasin diiktiraf hasil analisa PLANMalaysia daripada borang kaji selidik terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sapiah berkata, analisa indeks kebahagiaan Bandar Paling Bahagia dinilai menerusi tahap kesejahteraan penduduk merangkumi kesihatan dan kesejahteraan mental serta fizikal.

“Indeks kebahagian merupakan salah satu indikator dalam MURNInets yang dinilai melalui borang kaji seldiik penduduk yang merangkumi 14 komponen utama.

“Antara komponen tersebut termasuk tahap kehidupan dan kesihatan; kebahagian bersama keluarga dan saudara-mara; keseronokan bekerja; pengurusan kewangan; hubungan dengan jiran; aktiviti bersama komuniti; keselamatan kawasan kediaman dan perkhidmatan PBT dan pemimpin tempatan,” katanya.

Bagi memastikan pengiktirafan itu dikekalkan pada masa hadapan, beliau mengharapkan agar perkhidmatan MPJ dipertingkatkan selain berkolaborasi dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya perkhidmatan terbaik diberikan kepada rakyat daerah itu.

Katanya, memandangkan negara pada ketika ini berdepan dengan pandemik Covid-19, pengiktirafan itu dimaklumkan kepadanya pada Jumaat lalu menerusi atas talian.

Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menduduki tempat pertama manakala MPJ meraih tempat kelapan dalam senarai 10 Bandar Paling Bahagia 2019.

Views:

1792
Kongsi :
Previous post Bandaraya Melaka diiktiraf antara 10 Bandar Paling Bahagia 2019
Next post Melaka benarkan makan dalam kedai, bermula Jumaat ini
Ubah saiz-+=