Bandaraya Melaka diiktiraf antara 10 Bandar Paling Bahagia 2019

Masa Membaca:2 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 3 Jun – Bandaraya Melaka di bawah naungan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menerima pengiktiran terbesar apabila tersenarai sebagai antara 10 Bandar Paling Bahagia 2019.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata, pengiktirafan itu amat bermakna buat semua tenaga kerja dan penduduk di kawasan ini, apabila Bandaraya Melaka juga turut memperolehi markah 99 peratus bagi pencapaian Murninets pada tahun 2019.

Bagaimanapun, katanya kejayaan bermakna itu bukan sahaja untuk MBMB, sebaliknya ia turut dikongsi bersama semua agensi, badan-badan lain dan juga kerajaan negeri.

“Bukan hanya MBMB selaku PBT tetapi juga agensi-agensi dan badan-badan lain, termasuklah Jabatan Kerja Raya, Tenaga Nasional Berhad dan kerajaan negeri sendiri memainkan peranan penting dalam kejayaan ini.

“Tidak dilupakan juga kepada rakyat di kawasan ini yang memainkan peranan cukup penting dalam mematuhi segala peraturan hingga membuatkan tiada rungutan atau masalah diterima sepanjang tempoh tersebut.

“Alhamdulillah, dua PBT di Melaka (MBMB dan Majlis Perbandaran Jasin) telah menerima pengiktirafan pada tahun 2019 dan diharap dua lagi PBT iaitu Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) serta Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dapat mengikuti jejak langkah ini di masa akan datang,” katanya.

Zainal berharap kejayaan ini tidak membuatkan semua pihak berada di zon selesa, sebaliknya beliau mahu semua yang terlibat terus mengembeleng tenaga dalam memastikan Bandaraya Melaka terus mengekalkan status tersebut di masa akan datang.

“Kami mahu pastikan keselesaan dan kesejahteraan di kawasan ini berterusan dan pada masa sama berusaha untuk meningkatkan lagi markah yang diterima untuk tahun mendatang.

“Jadi tidak salah untuk kita berusaha tingkatkan lagi peratus tersebut di bawah pentadbiran kepimpinan dan semangat yang baharu bersama Datuk Sulaiman Md. Ali selaku Ketua Menteri,” ujarnya.

Kelmarin, PLANMalaysia menyenaraikan 10 Bandar Paling Bahagia 2019 yang dipilih melalui Kajian Indeks Kebahagiaan membabitkan dua bandar yang terletak dalam kawasan pentadbiran PBT bertaraf bandar raya, enam bandar di kawasan PBT bertaraf perbandaran dan dua bandar lagi di kawasan PBT bertaraf majlis daerah melibatkan kira-kira 60,000 responden.

Sementara itu, seorang penduduk dari Bukit Rambai, Irwan Khamis, 37 berkata, pengiktirafan tersebut amat berharga buatnya dan semua penduduk, selain menyifatkannya sebagai satu penghargaan buat semua pihak yang terlibat.

“Tahniah buat semua tenaga kerja yang terlibat terutama dari pihak MBMB sendiri kerana sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dalam memastikan keselesaan dan kesejahteraan penduduk di kawasan ini.

Turut senada ialah seorang lagi penduduk yang menetap di Tanjung Minyak, Naziatul Azida, 31, yang mengakui dirinya berbangga menjadi salah seorang penduduk di kawasan MBMB yang menerima pengiktirafan tertinggi itu.

“Siapa yang tak bangga bila tahu Bandaraya Melaka jadi antara bandar paling bahagia untuk diduduki. Saya tak nafikan bahawa memang seronok tinggal di kawasan Bandaraya Melaka. Kawasannya cukup lengkap dan lengkap.

“Tapi apa pun, saya berharap penduduk di sekitar Bandaraya Melaka dapat terus membantu mengekalkan identitu ini dengan menjaga kebersihan serta mengekalkan budaya sopan-santun dan hormat menghormati di antara satu sama lain,” ujarnya.

Views:

929
Kongsi :
Previous post Garis panduan pembukaan sekolah diedar mulai Khamis
Next post Jasin diiktiraf antara 10 Bandar Paling Bahagia dua tahun berturut-turut
Ubah saiz-+=