Jawatan Yang Dipertua MPJ sedang tunggu kelulusan JPA

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 8 Februari – Kerajaan Negeri sedang menunggu kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi lantikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jawatan tersebut kini kosong dan ia akan dipinjamkan menerusi JPA.

“Bagi lantikan Yang Dipertua MPJ kita masih lagi menunggu kelulusan daripada JPA dan berkhidmat dalam bentuk pinjaman kepada MPJ.

“Setakat ini kita tidak mempunyai masalah dalam sebarang bentuk lantikan kerana Kerajaan Negeri di bawah Kerajaan Perpaduan ini menjadikan pentadbiran Melaka sebagai sebuah kerajaan yang harmoni.

“Penerimaan dari semua pihak adalah diterima baik dan kita tidak berdepan sebarang permasalahan dalam Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Datuk Bandar, Yang Dipertua, Ahli Majlis dan Ahli Majlis Turut Hadir PBT Negeri Melaka tahun 2024 hingga 2025 di Grand Ballroom Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, Barisan Exco Kerajaan Negeri, Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta tetamu lain.

Terdahulu, program itu didahului dengan Majlis Angkat Sumpah dan menandatangani Borang Pengakuan Menerima Jawatan dimulakan dengan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman, diikuti Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Tpr. Saifuddin Abd Karim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron.

Seterusnya, program itu disusuli dengan Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis dan Ahli Majlis Turut Hadir melibatkan kesemua PBT seramai 107 orang.

Program lafaz sumpah itu disaksikan Ab Rauf dan tetamu yang hadir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4680
Kongsi :
Previous post Gugur Ahli Majlis tak capai KPI – KM
Next post Kebersihan, perkasa pelancongan misi utama MBMB
Ubah saiz-+=