Gugur Ahli Majlis tak capai KPI – KM

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 8 Februari – Lantikan Ahli Majlis di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini boleh digugurkan sekiranya tidak mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri optimis bagi memastikan Ahli Majlis yang dilantik sebagai duta kecil kerajaan perlu menjadi penghubung antara kerajaan dalam menyelesaikan segala permasalahan rakyat di bawah bidang kuasa PBT.

Jelasnya, satu penilaian Ahli Majlis akan dilaksanakan pada tahun 2024 dan 2025 bagi mengukur prestasi mengikut indikator yang ditetapkan.

“Ia akan dilaksanakan melalui Laporan Penilaian Prestasi Bulanan (LPNB) Ahli Majlis PBT Negeri Melaka bagi memastikan setiap Ahli Majlis memainkan peranan sewajarnya.

“Ahli Majlis yang mencapai KPI kurang daripada 50 peratus dalam tempoh tiga bulan berturut-turut atau sebanyak tiga kali dalam tempoh enam bulan perkhidmatan boleh diambil tindakan penahanan elaun bulanan dan boleh diangkat untuk cadangan penamatan perkhidmatan.

“Mereka ini merupakan duta kecil yang menghubungkan masyarakat dan PBT dalam melestarikan kehidupan rakyat yang harmoni dan perlu melihat segala permasalahan di bawah bidang kuasa PBT mesti dapat diselesaikan dengan menjaga dan menilai keperluan masyarakat dalam kawasan yang diwartakan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Datuk Bandar, Yang Dipertua, Ahli Majlis dan Ahli Majlis Turut Hadir PBT Negeri Melaka tahun 2024 hingga 2025 diadakan di Grand Ballroom Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, Barisan Exco Kerajaan Negeri, Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta tetamu lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1040
Kongsi :
Previous post Syarikat sisa pepejal peruntuk RM30,000 bantu masyarakat Cina beraya
Next post Jawatan Yang Dipertua MPJ sedang tunggu kelulusan JPA
Ubah saiz-+=