
‘JEBAT’ IKON BAHARU ZOO MELAKA
AYER KEROH 22 Ogos – Selepas hampir enam bulan menanti, anak harimau kumbang jantan lahir pada 24 Februari lalu di Zoo Melaka secara rasminya diberi nama ‘Jebat’, bersempena pahlawan legenda Melaka yang sinonim dengan keberanian dan kekuatan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron berkata, pemilihan nama itu melambangkan semangat kepahlawanan dan jati diri masyarakat negeri ini, selaras dengan slogan ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’.
“Pertandingan menamakan anak harimau kumbang ini menerima sambutan luar biasa dengan 31,489 penyertaan daripada orang ramai. Panel juri menilai setiap cadangan berdasarkan kesepadanan dengan identiti Melaka, makna positif serta keunikan selain mudah disebut.
“Melihat kepada jumlah penyertaan yang begitu tinggi, jelas masyarakat bukan sahaja memberi perhatian kepada haiwan ini, malah turut mempunyai minat mendalam terhadap pemuliharaan fauna,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Pemenang pertandingan itu membawa pulang baucar Zoo Melaka bernilai RM500 selain hadiah istimewa daripada pihak zoo dan MPHTJ sebagai penghargaan atas kreativiti serta sokongan diberikan.
Menurut Sapiah, pihaknya berhasrat menjadikan pertandingan seumpama itu sebagai acara berterusan pada masa depan, sama ada untuk melibatkan kelahiran anak haiwan baharu atau tarikan lain di Zoo Melaka.
“Saya harap inisiatif seperti ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepelbagaian fauna khususnya di Melaka. Melalui nama Jebat, mesej ingin kami sampaikan ialah keberanian, kekuatan dan keindahan haiwan ini wajar dihargai. Setiap spesies fauna perlu dipelihara kerana ia adalah khazanah alam yang tidak ternilai.
“MPHTJ juga merancang menjadikan Jebat sebagai ikon baharu Zoo Melaka dengan mempromosikannya menerusi media sosial, bahan pameran dan kempen pelancongan negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.