Jejantas RM3 juta beri manfaat 1,000 pelajar

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

KLEBANG 8 Julai – Keselamatan kira-kira 1,000 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rambai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Rambai lebih terjamin dengan pembinaan jejantas baharu di hadapan dua sekolah itu.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka Datuk Ir. Ismail Abd Rahman berkata, projek yang menelan kos RM3.073 juta itu bermula pada 16 Disember 2020 dan siap sepenuhnya 6 Mac lalu.

Katanya, antara skop projek berkenaan ialah membabitkan pembinaan jejantas, pengalihan utiliti, penebangan dan pengalihan pokok serta menyedia atau mengganti semula perabot jalanan selain sistem perparitan.

“Tahniah diucapkan kepada kontraktor dan terima kasih di atas kerjasama dan usaha pasukan Jurutera Awam Penguasa Jalan JKR Melaka selain pasukan Jurutera Daerah JKR Melaka Tengah kerana berjaya menyiapkan projek ini dalam tempoh dan mengikut kos ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, demikian ketika berucap Majlis Penyerahan Projek Mengganti Jambatan Sedia Ada di Tangga Batu serta Membina Jejantas SMK Bukit Rambai dan SK Taman Bukit Rambai, di sini, semalam.

Majlis tersebut telah disempurnakan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer yang turut dihadiri Timbalannya Zahari Abd Kalil serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Lim Ban Hong.

Dalam pada itu, Ismail dalam ucapannya berharap semua pengurusan projek dan pembangunan di pelbagai peringkat dapat dilaksanakan secara efisien dan cekap.

“Ini termasuklah memastikan projek-projek ini dijalankan mengikut jadual dan menepati tempoh masa, spesifikasi serta kualiti kerja yang terbaik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1269
Kongsi :
Previous post RM300 juta disalur kepada TAPEM sejak tahun 2000
Next post TMM2024: APM Melaka bersedia hadapi peningkatan pelancong
Ubah saiz-+=