Jelajah AKM Perlis tarik 14,000 pengunjung, rekod jualan lebih RM2.34 juta

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KANGAR, 27 Mac – Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Perlis berjaya menarik kehadiran lebih 14,000 pengunjung sepanjang tiga hari program itu berlangsung sejak Jumaat lepas, melepasi sasaran 10,000 yang ditetapkan sebelum ini.

Sekretariat Program Jelajah AKM dalam kenyataan turut menyebut setakat 2 petang hari ini, sebanyak RM2.34 juta jualan berjaya direkodkan melibatkan 114 gerai jualan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) serta program padanan perniagaan dalam siri jelajah kali ini.

“Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia telah menawarkan 4,856 pelbagai kekosongan jawatan daripada 27 majikan dan 615 peserta dipanggil menghadiri temu duga dengan 591 orang berjaya ke tapisan akhir jawatan yang dipohon setakat ini,” menurut kenyataan tersebut.

Pelbagai perkhidmatan secara langsung telah ditawarkan sepanjang program itu berlangsung melibatkan 27 reruai kaunter perkhidmatan kementerian, agensi dan kerajaan negeri antaranya penerangan servis kerajaan, pemeriksaan serta saringan kesihatan dan kaunseling kewangan.

Selain itu, sekretariat berkenaan memaklumkan Jualan Keluarga Malaysia turut diadakan dengan tawaran potongan harga sehingga 31 peratus bagi barangan keperluan harian selain penganjuran beberapa program antaranya Program Forum Ihya Ramadan, pertandingan e-sukan dan Kayuhan Fun Ride Jelajah AKM.

“Penganjuran jelajah kali ini merupakan komitmen kerajaan menyumbang kepada rakyat melalui penganjuran program yang berfokuskan kepada perkhidmatan secara langsung, sekali gus menyatupadukan Keluarga Malaysia ke arah kesejahteraan ekonomi, seterusnya memulihkan negara dalam situasi mencabar,” menurut kenyataan itu.

Sekretariat itu menyebut siri jelajah berkenaan akan diteruskan ke seluruh negara dengan segmen perkhidmatan sama bagi memenuhi keperluan rakyat dan membantu penghayatan terhadap pengertian AKM yang menitikberatkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Jelajah AKM yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah kesinambungan daripada kejayaan penganjuran program 100 Hari AKM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 hingga 12 Dis 2021.

Siri jelajah pertama telah diadakan di Johor pada 3 hingga 5 Mac lepas, manakala siri jelajah kedua diadakan di Perlis dan berlangsung selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Mac di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1160
Kongsi :
Previous post Pelajar IPT kutip 10kg bekas makanan di Pantai Klebang
Next post Johor, Persekutuan kerjasama pastikan pembukaan semula sempadan Malaysia – Singapura lancar
Ubah saiz-+=