Jemaah lebih 70 tahun bersyukur dibenarkan kembali ke masjid

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

MASJID TANAH 19 Jun – Tiada yang lebih menggembirakan warga emas berusia lebih 70 tahun selain dibenarkan kembali berjemaah di masjid.

Rindu dendam untuk kembali ke masjid yang terpendam sejak tiga bulan lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac lalu dan disambung dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kini sudah terubat.

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) memberi ruang untuk mereka kembali berjemaah menunaikan solat Jumaat dan fardu mulai kelmarin berikutan kelonggaran had umur jemaah yang diumumkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Jemaah tertua di Masjid Al-Ehsan, Kampung Londang dekat sini, Baba Kechut, 92, berkata sepanjang tiga bulan tidak dapat berjemaah di masjid, beliau memendam rasa setiap kali azan berkemundang.

“Sayu hati saya mendengar alunan azan dari radio dan masjid kerana sebelum PKP, saya memang amat jarang solat di rumah dan saya sentiasa berdoa agar Allah mengizinkan saya dan warga emas yang lain berjemaah di masjid.

“Alhamdulillah, sekarang segala kerinduan itu sudah terlerai dan saya ucapkan terima kasih kepada Jabatan Mufti Melaka dan JAIM,” katanya selepas menunaikan solat Subuh di masjid itu hari ini.

Pada usia lanjut itu, bapa kepada 10 anak itu menggagahkan dirinya membonceng motosikal ditunggangi anaknya, Shaari, 48, untuk berulang alik ke masjid kerana baginya, setiap kali tidak dapat menjejakkan kaki di rumah Allah itu, jiwanya tidak tenang.

Dalam kalangan anggota komuniti di kampung itu, Baba atau lebih mesra dengan panggilan Tok Baba dikenali sebagai lelaki paling tua yang masih sihat berbanding beberapa lelaki lain yang seusia dengannya tetapi hanya terlantar di atas katil.

Bagi Mat Daud Md Isa, 72, kelonggaran diberikan JAIM itu bukan setakat mengubat kerinduannya pada masjid, malah merungkai keresahan dalam jiwanya sejak tidak dibenarkan bejemaah di masjid akibat pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah, Allah izinkan saya dan warga emas yang lain hadir di masjid selepas terpaksa solat bersama anggota keluarga di rumah selama kira-kira tiga bulan,” katanya.

Kelmarin, Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat dilaporkan berkata, mereka yang berusia lebih 70 tahun dan kanak-kanan berusia lebih 13 tahun dibenarkan menjadi jemaah solat Jumaat dan fardu di masjid dengan syarat benar-benar sihat, berbanding larangan mereka berbuat demikian sebelum ini.

Views:

400
Kongsi :
Previous post Seorang pegawai kanan polis ditahan SPRM selepas disyaki meminta dan menerima rasuah
Next post Agong zahirkan ucapan takziah pemergian tokoh sasterawan Dr Mohamed Ghazali
Ubah saiz-+=