Jentera JR Wanita UMNO atur langkah bersedia

0
551
PENGERUSI Jawatankuasa Wanita, Pembanguan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar

TABOH NANING 30 Julai – Jentera Jalinan Rakyat (JR) Wanita UMNO Melaka sudah bersedia berdepan sebarang kebarangkalian dalam menempuh Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengerusinya, Datuk Latipah Omar berkata, pihaknya telah mengatur langkah dengan pelbagai gerakan melalui kerjasama Muslimat PAS negeri dengan pendekatan pelbagai program di negeri ini.

Ujarnya, gerakan melalui pelbagai program turun padang turut dilaksanakan pihaknya bagi membantu dan memastikan pembangunan wanita di negeri ini turut dibela.

“Gerakan jentera ini dilihat sudah bersedia dengan kebarangkalian yang akan kita hadapi nanti dan kita dapat lihat kebersamaan kita antara Muslimat PAS dalam perjuangan ini.

“Apa yang penting pembangunan wanita dalam setiap komuniti itu perlu dan seiring dengan hal ehwal kerohanian, keagamaan dan dakwah yang perlu diterapkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Tambahnya, sebagai memperkasa peranan wanita di negeri ini beliau berharap kerajaan negeri memandang keterampilan wanita yang mampu memimpin masyarakat di dalam setiap komuniti.

Ujarnya, harapan yang tinggi dalam meletakkan beberapa calon wanita perlu diambil kira bagi memberi peluang wanita dalam perkara ini.

“Kita mohon kerajaan negeri meletakkan calon wanita dalam kuota yang kecil saja, jika Melaka punyai 28 DUN kita hanya mohon enam kawasan sahaja bagi memberi peluang ini dalam memperkasa peranan wanita,” katanya.