Kontroversi Bukit St Paul: Apa beza Hagia Sophia dan Bukit Melaka?

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

BANDA HILIR 30 Julai – Ugutan segelintir pihak yang cuba membawakan isu cadangan pertukaran nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka ke pihak Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) disifatkan sebagai kebudak-budakan oleh Institut Warisan Melaka (INSWA).

Pengurus Besarnya, Nurman Mohd Baroldin berkata, tindakan itu dipercayai tidak akan memberi kesan kepada Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia UNESCO memandangkan isu pertukaran nama bukanlah satu isu besar yang boleh menjejaskan negeri.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Melaka menambah Hagia Sophia di Turki tidak berdepan masalah meskipun sudah beberapa kali berubah fungsi bangunannya, mengapa pula pertukaran nama perlu dikontroversikan sehingga membawa kepada ugutan?

“Hagia Sophia sendiri berubah-ubah fungsinya daripada masjid ke gereja dan kemudian muzium dan kembali semula kepada masjid. Jadi saya percaya mengenai pertukaran nama ia tidak ada masalah dan UNESCO tidak akan mengikut rentak itu.

“Perkara ini tidak seharusnya menjadi isu besar kerana selagi kita tidak sentuh bangunan yang ada seperti robohkan atau ubah suai, ya, itu memang tak boleh! Tapi kalau sekadar nama dan fungsi, ia bukan satu masalah.

“Bagi kami, elok juga mereka cuba bawakan isu ini ke UNESCO kerana kita berbicara mengenai sejarah dan UNESCO juga melihat sesuatu perkara dari sudut pandang sejarah. Kita bukan memesongkan tentang isu nama itu,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Tambah Nurman, selain ugutan ke pihak UNESCO, pihaknya turut mendapat perkhabaran ada pihak tidak bertanggungjawab cuba membawa masuk wartawan asing untuk membangkitkan isu cadangan pertukaran nama ini.

Namun, tegasnya, pihaknya bersama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) sama sekali tidak akan tunduk, sebaliknya akan mengadakan pertemuan dengan pihak yang membantah bagi meleraikan segala kekusutan yang berlaku.

“INSWA bersama PERZIM sudah jalankan kajian dan kita sedia anjur forum yang melibatkan mereka yang membantah untuk dengar pandangan mereka.

“Tapi asas utama kita ialah sejarah dan bukan emosi. Kalau mereka nak terlibat sama untuk mengetahui tentang sejarah, memang kami alu-alukan. Tapi kalau cuba mainkan sentimen agama, perkauman atau politik baik lupakan,” katanya lagi.

Views:

653
Kongsi :
Previous post Jentera JR Wanita UMNO atur langkah bersedia
Next post UTeM warta 1 Disember sebagai Hari Alumni
Ubah saiz-+=