JKM terima 91 permohonan Program Susu

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

LENDU, 12 Dis. – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri menerima 91 permohonan baharu Program Susu sebagai Makanan membabitkan perbelanjaan berjumlah RM234,888.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, permohonan yang telah diluluskan itu merupakan lanjutan kepada Belanjawan Melaka 2021 yang dibentangkan pada Rabu lalu yang memperuntukkan sebanyak RM1.7 juta setahun secara keseluruhannya bagi bantuan program itu.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pemimpin-pemimpin komuniti di peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) supaya memainkan peranan penting untuk memastikan kumpulan sasar yang memerlukan bantuan itu tidak tercicir daripada menerimanya.

SULAIMAN

“Setakat ini kerajaan memperuntukkan RM1.7 juta dan jumlah itu akan meningkat bergantung kepada jumlah permohonan yang benar-benar layak menerima bantuan program itu.

“Jumlah peruntukan sedia ada akan ditambah bergantung kepada permohonan yang diterima dan keupayaan kewangan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Susu Sebagai Makanan 2020 di Kompleks Japerun Lendu, Masjid Tanah.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Datuk Wira Latipah Omar.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, sehingga Disember 2020, seramai 24,488 orang menerima bantuan JKM yang mana 19,493 penerima daripada jumlah tersebut adalah daripada Skim Persekutuan dengan peruntukan sebanyak RM77,787,953.00.

“Manakala 4995 penerima menerima skim Bantuan Am Negeri dengan peruntukan sebanyak RM12,551,830.00.

“Ini bermakna, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah berbelanja sebanyak hampir 90 juta setahun bagi memastikan rakyat Melaka dapat menjalani kehidupan yang lebih sempurna,” katanya.

Views:

1051
Kongsi :
Previous post Pantai Pengkalan Balak kembali ‘ceria’
Next post Melaka mula dibanjiri pelancong
Ubah saiz-+=