JKN sasar 30,000 orang Melaka jalani saringan kesihatan

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

BUKIT BARU 15 September – Kerajaan Melaka menyasarkan sekurang-kurangnya 30,000 rakyat negeri ini menjalani saringan kesihatan menjelang hujung tahun kata Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Katanya, sasaran itu adalah selaras dengan cadangan disuarakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin agar majikan memberikan cuti khas satu hari kepada kakitangan masing-masing untuk menjalani saringan kesihatan.

“Saya memandang cadangan Menteri Kesihatan adalah bernas dan baik. Kerana rata-rata pekerja apabila ditanya mengapa tidak mendapatkan saringan kesihatan jawapan mereka adalah tidak mendapat cuti.

“Jika dilaksanakan di Putrajaya, kita di peringkat negeri akan ikut. Peringkat Negeri Melaka pula, kita sememangnya sudah mula melaksanakan saringan kesihatan itu dua minggu lalu di Seri Negeri. Konsep kita ‘mereka tidak datang pada kita, tidak mengapa, kita yang datang kepada mereka’.

“Saya sudah berhubung dengan setiap agensi dan pejabat kerajaan negeri, mengenai pembabitan pegawai jabatan kesihatan yang akan menawarkan khidmat saringan kesihatan percuma pada setiap program dianjurkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas merasmikan Klinik Pergigian Sharlindah (KPS) 1 di Bukit Baru, di sini, hari ini.

Dr Muhamad Akmal berkata, saringan itu amat wajar untuk meningkatkan kesedaran dan memastikan setiap individu peka dengan tahap kesihatan masing-masing.

“Saya sendiri pernah melakukan saringan kesihatan terhadap penjawat awam, hasilnya tiga daripada mereka menghidap kencing manis dan darah tinggi,” katanya.

Terdahulu, pada 11 September lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan kepada majikan supaya diberikan cuti khas sehari kepada pekerja mereka untuk menjalani saringan kesihatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1823
Kongsi :
Previous post 43,508 pemilih baharu didaftarkan, semakan bermula hari ini hingga 14 Oktober – SPR
Next post Pidato Piala TYT 2022 sengit
Ubah saiz-+=