JPJ Perlis pantau kenderaan keluar masuk sejak sempadan dibuka
PADANG BESAR, 11 Mei (Bernama) — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis sentiasa melakukan pemantauan sejak pintu sempadan Malaysia-Thailand dibuka bagi memastikan kenderaan yang masuk ke negara ini mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pengarahnya, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata warga Thailand yang memasuki negara ini melalui dua pintu sempadan di negeri ini diingatkan supaya mendapatkan Permit Pengedaran Antarabangsa (ICP) dan insurans terlebih dahulu.
“JPJ tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan termasuk mengeluarkan saman terhadap mana-mana pemilik kenderaan tidak kira sama ada kenderaan Malaysia mahupun Thailand yang tidak patuh dengan undang-undang di negara ini,” katanya.
Pintu sempadan Wang Kelian mula dibuka pada 1 April apabila negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik, diikuti pintu di Padang Besar pada 5 Mei lepas.
“Sehingga kini, JPJ hanya mengeluarkan satu saman terhadap kenderaan Thailand yang tidak memiliki ICP sejak pintu sempadan Malaysia-Thailand dibuka dan JPJ juga telah menerima dua pemohonan ICP dari negara jiran,” katanya.
Fatimah juga menasihati warga Malaysia yang ingin masuk ke negara jiran agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh negara Gajah Putih itu dengan merujuk kepada pihak berkuasa di sana.
Sementara itu, seorang pemandu teksi yang hanya dikenali sebagai Bakar, 57, berkata kenderaan keluar masuk di pintu sempadan Padang Besar semakin bertambah dan kebanyakan kenderaan dari Thailand dilihat mematuhi undang-undang jalan raya di negara ini.
“Alhamdulillah ramai yang menggunakan perkhidmatan teksi sejak pintu sempadan sini dibuka, saya memuji tindakan pemantauan yang dilakukan pihak berkuasa JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutamanya pada hujung minggu dan sebelah petang,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.