Sorting by

×

KADAR KESUBURAN DI MELAKA MENURUN

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

DURIAN TUNGGAL 27 Ogos – Melaka berdepan peralihan demografi apabila kadar kesuburan jumlah (TFR) mencatatkan penurunan ketara sehingga 1.7 anak, jauh di bawah paras penggantian 2.1 anak pada tahun 2023.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Datuk Abdul Shukur Abdullah berkata, Melaka turut merekodkan penurunan bilangan kelahiran hidup iaitu daripada 14,568 kelahiran pada 2014 kepada 13,583 pada tahun 2023.

Katanya, kedua-dua indikator demografi itu menunjukkan tahap kesuburan di Melaka berada dalam trend penurunan berterusan.

“Salah satu indikator utama perubahan ini ialah kadar kesuburan jumlah atau ‘total fertility rate’ (TFR) iaitu purata bilangan anak yang dilahirkan oleh seorang wanita dalam tempoh usia reproduktif 15 hingga 49 tahun.

“Penurunan ini juga dikaitkan dengan peningkatan kos sara hidup, kecenderungan berkahwin lewat, perubahan aspirasi keluarga moden, penglibatan wanita dalam pendidikan tinggi serta kerjaya dan faktor kesihatan reproduktif.

“Statistik jumlah perkahwinan di Melaka juga menurun daripada 7,023 pada tahun 2016 kepada 6,119 pada tahun 2023, di mana umur purata perkahwinan pertama bagi lelaki meningkat kepada 30.6 tahun, manakala wanita pada usia 28.6 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan aluan Program Seminar Kependudukan Peringkat Negeri Melaka 2025 yang dirasmikan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Pengarah LPPKN negeri, Susma Khairitszi Mamat.

Mengulas lanjut, Abdul Shukur berkata, seminar tersebut diadakan sempena Sambutan Hari Kependudukan dengan penglibatan ramai pihak bagi membincangkan isu terbabit dari pelbagai sudut dan perspektif.

“Kerajaan Negeri disaran untuk menjadikan dapatan penyelidikan sebagai asas memperkukuh dasar serta merangka intervensi yang lebih menyeluruh bagi menangani cabaran demografi di Melaka pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

343
Kongsi :
Previous post MELAKA CADANG BINA ‘RETIREMENT VILLAGE’ HADAPI NEGARA MENUA 2040
Next post AKCC, PPSPM METERAI MOU PERKUKUH PROMOSI SILANG PELANCONGAN