Kaki hancur terpijak jerangkap samar – budi yang tidak terbeli

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

SUNGAI UDANG 4 Sep – Biar hilang sebelah kaki, demi tanah air tercinta, perjuangan membela nusa dan bangsa tetap diteruskan kerana Malaysia adalah bumi bertuah yang tidak harus diserahkan walau seinci pun kepada pengganas komunis.

Itulah pegangan perjuangan bekas anggota tentera, Mejar (B) Ramli Abu Bakar, 71, ketika menentang pengganas komunis dalam beberapa siri pertempuran pada sekitar 1970-an.

Menyorot detik malang yang mengakibatkan beliau kehilangan kaki kanan dari paras lima sentimeter dari lutut ke bawah, beliau berkata, selepas bertempur dengan pengganas komunis pada jam 8 pagi, 16 Mac 1976 di hutan tebal sempadan Malaysia-Thailand di Gubir, Kedah beliau dan anggota pasukan menjejaki musuh.

RAMLI.

“Lebih kurang jam 3 petang pasukan kami dari Batalion Ke-8 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berjaya menjejaki musuh hingga sudah terlalu hampir dengan kem mereka.

“Bagaimanapun, tiba-tiba saya terpijak jerangkap samar kira-kira jam 3.15 petang menyebabkan saya tercampak beberapa meter,” katanya.

Ramli yang ketika itu berusia 26 tahun berkata, apabila tersedar daripada kejutan itu barulah dia berasa amat sakit selain sungguh sedih apabila melihat kaki kanannya hancur ‘dimamah’ bom.

“Walaupun kehilangan banyak darah, saya tidak pengsan dan helikopter Nuri tiba untuk mengambil saya pada jam 7.15 malam.

“Pegawai memberitahu saya, doktor akan turun dari helikopter tetapi saya kata saya mampu mengikat badan saya dengan tali untuk ditarik naik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersama-sama 15 lagi anggota Persatuan Veteran Tentera Malaysia (PVTM) Cawangan Sungai Udang, di sini menerima sumbangan daripada Persatuan You Tuber Malaysia di Balai Raya Taman Terendak Permai, Sungai Udang dekat sini hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua (YDP) PVTM Melaka, Datuk Seri Fazil Shafie dan YDP PVTM Cawangan Sungai Udang, Zubir Abdul Karim serta Pengerusi Penaja Persatuan You Tuber Malaysia, Shamsul Ambia Daud.

Anak jati Simpang Ampat, Alor Gajah itu berkata, selepas menjalani pembedahan, dia diberikan tugas dalam pejabat tetapi semangat juangnya tetap membara dan bersedia pada bila-bila masa untuk berjuang mempertahankan tanah air jika tenaganya diperlukan.

Katanya, dia sering mengingatkan tiga anak dan lapan cucunya supaya sentiasa peka terhadap musuh negara yang sekarang ini mengancam kita dalam pelbagai bentuk.

“Walaupun ancaman pengganas komunis sudah tamat, kita jangan leka kerana musuh sentiasa mencari peluang untuk merampas kuasa daripada tangan orang kita,” katanya.

Sementara itu, Fazil berkata, PVTM Melaka sentiasa berusaha mendapatkan dana bagi membantu 13,000 anggota persatuan itu di 14 cawangan.

Katanya, bagi Rayuan Hari Pahlawan Tahun 2020, persatuan itu berjaya mengumpulkan dana RM387,000 untuk disalurkan kepada anggota persatuan.

Beliau berkata, seramai 16 anggota PVTM Melaka mengalami kecacatan kekal akibat kecederaan ketika bertugas mempertahankan tanah air dan Ramli adalah seorang daripada mereka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

891
Kongsi :
Previous post Melaka United FC jinakkan ‘The Boss Gaurus’
Next post 47.8 peratus populasi Malaysia lengkap dua dos vaksin – JKJAV
Ubah saiz-+=