Sorting by

×

Melaka United FC jinakkan ‘The Boss Gaurus’

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) mengesahkan tempat di Liga Super musim depan selepas berjaya menundukkan Perak FC 2-1, di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Tiga mata berharga yang diperoleh itu cukup untuk membantu skuad Hang Tuah menjamin slot saingan liga teratas musim 2022 selepas mengutip keseluruhan 21 mata daripada 21 perlawanan dengan hanya berbaki satu perlawanan sahaja lagi sebelum liga melabuhkan tirai.

Aksi yang berlangsung dalam cuaca baik itu menyaksikan tuan rumah terlebih dahulu memperoleh peluang membuka tirai jaringan pada minit ke-10 hasil situasi kucar-kacir di hadapan pintu gol pelawat.

Namun peluang itu gagal dimanfaatkan Mohamad Fakhrullah Rosli dan Giovane Gomez.

Tujuh minit selepas itu, giliran Sony Norde pula hampir memecah kebuntuan menerusi sepakan percuma terus ke arah pintu gol.

Sayangnya, rembatan itu sekadar singgah di palang dan tindakan susulan yang dilakukan Gomez pula melambung tinggi.

Keterujaan tuan rumah melakukan asakan akhirnya dikejutkan apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada pelawat selepas Khairul Anwar Shahruddin menjatuhkan Muhamad Syahir Bashah di dalam kotak penalti.

Sergio Aguero yang dipertanggungjawab mengambil sepakan tersebut berjaya menewaskan Khairul Fahmi Che Mat untuk meletakkan Perak di depan pada minit ke-30.

Gawang Melaka sekali lagi diuji pada minit ke-33 dan 40 menerusi ancaman Muhammad Adib Abdul Raop yang memperoleh peluang keemasan untuk menggandakan jaringan.

Namun, kedua-dua peluang itu gagal disempurnakan dengan baik dan menyaksikan keputusan satu gol memihak Perak kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung di babak kedua, anak buah Zainal Abidin Hassan yang ketinggalan melakukan asakan bertubi-tubi untuk mencari gol penyamaan.

Gol yang dicari-cari akhirnya muncul pada minit ke-66 menerusi Manuel Ott yang melakukan larian solo dari tengah padang sebelum merembat deras bola menewaskan Mohammad Nasrullah Abdul Aziz.

Ia merupakan gol kedua peribadi berturut-turut yang dijaringkan pemain kebangsaan Filipina itu.

Tidak terhenti di situ, MUFC berjaya memperoleh gol kedua berselang 13 minit selepas itu menerusi Sony Norde.

Gol itu terhasil selepas Sony berjaya merembat deras bola di luar kotak penalti, sekali gus menewaskan Mohammad Nasrullah buat kali kedua.

Keputusan 2-1 memihak MUFC itu kekal selepas pengadil perlawanan, Ahmad Zuhaidi Dzulkifli meniupkan wisel penamat.

Aksi terakhir Liga Super menyaksikan MUFC bakal bertandang ke Stadium Darul Aman, Alor Setar untuk menentang Kedah Darul Aman FC pada 12 September depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1379
Kongsi :
Previous post Guru enggan divaksin tidak boleh mengajar secara bersemuka
Next post Kaki hancur terpijak jerangkap samar – budi yang tidak terbeli
Ubah saiz-+=