Kampung Paya Lebar bakal gamit pelancong

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER LIMAU 15 Julai – Projek Ekopelancongan Kampung Paya Lebar, di sini yang bernilai RM2.036 juta dimajukan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kerana keindahan alam semula jadinya berpotensi besar untuk menarik lebih ramai pelancong.

Setiausaha Bahagian Pembangunan Prasarana MOTAC, Mohd Khairul Kassim menjelaskan, 10 projek itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 65 projek pelancongan yang diluluskan MOTAC pada 2021 dan tahun ini.

Beliau berkata, kajian kementerian itu mendapati aliran pelancongan semasa menyaksikan semakin ramai pelancong memilih ekopelancongan yang berasaskan keindahan alam semula jadi.

Menurutnya, pelancong tempatan dan asing semakin cenderung memilih ekopelancongan kerana ia tulen berbanding pelancongan berasaskan pembuatan manusia.

“Setiap projek ekopelancongan itu bernilai antara RM2 hingga RM3 juta dan aliran pelancongan sekarang memihak kepada keindahan alam semula jadi.

“Kementerian dalam usaha mempopularkan ekopelancongan kerana negara kita memiliki banyak lokasi menarik yang masih belum terusik,” katanya pada sidang media selepas program Lawatan Projek Ekopelancongan Paya Lebar di Pangkalan Nelayan Kampung Paya Lebar, dekat sini hari ini.

Pada program itu Mohd Khairul dan Pengarah Bahagian Kejuruteraan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Sugiman Johari menyampaikan taklimat mengenai projek berkenaan.

Projek berkenaan membabitkan pembinaan jeti untuk kemudahan pelancong di Pangkalan Nelayan Kampung Paya Lebar, Tebing Urut dan Sabak Arang di sepanjang Sungai Ramuan Cina dan Sungai Rembau.

Pekerja membina jeti bagi menjayakan Projek Ekopelancongan Kampung Paya Lebar.

Selain itu, ia turut membabitkan pembinaan laluan pejalan kaki di tebing Sungai Ramuan Cina dan keseluruhan projek yang dimulakan pada 10 Jun lalu itu dijangka siap sepenuhnya pada awal September depan.

Mohd Khairul berkata, MOTAC menyediakan peruntukan bagi projek berkenaan berikutan potensi besar yang ada pada sungai dipenuhi dengan hutan paya bakau yang dihuni buaya untuk memikat pelancong tempatan dan asing.

“MOTAC mengaplikasikan keindahan alam semula jadi di sesuatu kawasan dengan kemudahan seperti jeti, bot untuk pelancong dan seumpamanya kerana ia berfungsi sebagai daya penarik untuk pelancong hadir menyaksikan keindahan alam yang belum terusik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4314
Kongsi :
Previous post Tujuh premis jual rokok pada pelajar sekolah dikompaun RM 4,000
Next post Ambil dos penggalak perisai gelombang ketiga COVID-19
Ubah saiz-+=