
KAMPUNG PENGKALAN RENGGAM ‘RIUH’ BAK KENDURI
AYER MOLEK 28 Julai – Riuh dengan gelak tawa, bunyi sudip berlaga kuali, dan sorakan persis di acara sukaneka menggambarkan betapa meriahnya suasana di Kampung Pengkalan Renggam, di sini.
Itulah impak program Penyemarakan Seni Budaya: Budaya @ Komuniti ‘Rewang Sekampung @ Ayer Molek yang bertujuan menghidupkan semula budaya gotong-royong dalam kalangan penduduk kampung, selain mengimbau kembali nostalgia di desa.
Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Melaka, Ezlina Alias berkata, program tahunan itu adalah pendekatan bagi mengangkat warisan tidak ketara menerusi beberapa aktiviti kemasyarakatan dan kebudayaan.
Menurut Ezlina, selain bertujuan mendekati komuniti, ia juga merupakan manifestasi usaha JKKN Melaka menunjukkan sokongan terhadap sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025.

“Rewang atau gotong-royong ini adalah satu amalan yang sudah lama kita lupakan kerana kebanyakan antara kita sekarang lebih fokus dengan gajet dan media sosial.
“Inilah tujuannya program penyemarakan budaya ini dilakukan supaya tradisi lama seperti permainan gasing, boling kelapa dan lain-lain tidak lenyap begitu sahaja.
“Bagi tahun ini, dua buah kampung terpilih iaitu Kampung Pengkalan Renggam dan sebelum ini kita adakan di Kampung Telok Mas. Alhamdulillah, sambutan komuniti setempat amat menggalakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas program Penyemarakan Seni Budaya: Budaya@Komuniti ‘Rewang Sekampung’ @ Ayer Molek yang dirasmikan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman di Kampung Pengkalan Renggam, di sini, semalam.

Tambah Ezlina, berdasarkan impak positif menerusi program seumpamanya, maka sebuah siri jelajah berskala kecil ke setiap pelusuk kampung akan dibuat bagi memupuk penghayatan terhadap seni dan budaya negeri.
“Misalnya di gelanggang gasing ini kita dapat lihat bagaimana permainan tersebut berjaya mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat, jadi kita mahu suasana keakraban itu diperluaskan ke tempat-tempat lain,” katanya.
Rewang Sekampung @ Ayer Molek yang diadakan selama dua hari menghimpunkan pelbagai acara menarik seperti penyediaan Nasi Ambeng, permainan gasing, boling kelapa, pakaian beragam tradisional cilik, pertandingan membuat ondeh-ondeh dan pelbagai lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.