Kapal korek terbakar, 11 kru selamat

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

SHAH ALAM 19 Julai – Sebuah kapal korek MV SHI XIAN 156 mengalami kebakaran di kedudukan lebih kurang 0.3 batu nautika Sungai Chondong Besar, Pulau Indah pada jam 12.48 tengah hari tadi, menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Pengarah Maritim Negeri Selangor Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, sebaik menerima aduan, bot Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi kejadian bersama Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Turut serta bot pemantau dari Lembaga Pelabuhan Klang bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat termasuk membuat kawalan keselamatan di lokasi.

ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran kapal. Foto APMM.

“Kapal tersebut membawa 11 orang kru, empat daripadanya warga Indonesia, manakala tujuh lagi warga China, yang dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan dan dipindahkan ke daratan terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosli berkata, kerja-kerja pemadaman api masih giat dilakukan berikutan terdapat tangki minyak di bawah tempat kebakaran, namun berjaya dikawal sepenuhnya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam tempoh masa lebih kurang enam jam.

“Setakat ini tiada tumpahan minyak dilaporkan berlaku dan Maritim Malaysia akan membuat pemantauan berterusan,” katanya.

Maritim Malaysia menasihatkan agar komuniti maritim, sentiasa peka mengenai keselamatan di laut dan bersiap sedia dengan sebarang kejadian yang tidak diingini bagi mengelakkan kehilangan nyawa serta harta benda.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1097
Kongsi :
Previous post COVID-19 : Empat kluster baharu di Melaka
Next post Pengorbanan patuhi SOP satu jihad besar – Muhyiddin
Ubah saiz-+=