COVID-19 : Empat kluster baharu di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 19 Julai – Melaka merekodkan empat kluster baharu menular dalam kalangan pusat tahanan dan pekerja kilang, hari ini.

Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM), kluster baharu pertama iaitu Kluster Tembok Kemus 2 (Pusat Tahanan) di Daerah Alor Gajah dan Jasin.

“Kluster ini melibatkan tahanan di sebuah pusat tahanan di Jalan Kemus Lama Simpang Ampat, Alor Gajah.
“Kes indeks adalah seorang lelaki warganegara berumur 39 tahun yang positif pada 10 Julai hasil saringan sebelum masuk penjara.

“Seramai 63 individu telah disaring dan 40 daripadanya disahkan positif COVID-19 setakat ini,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu kluster kedua ialah Kluster Teknologi Lot Enam 2 di daerah Melaka Tengah membabitkan seramai 47 individu positif COVID-19.

“Kluster ini melibatkan pekerja-pekerja sebuah kilang di Lot 6 Batu Berendam, kes indeks merupakan lelaki warganegara berumur 27 tahun dilaporkan positif pada 20 Jun lalu hasil saringan individu bergejala pada 16 Jun.

“Seramai 135 individu telah membuat saringan dan daripada jumlah itu seramai 47 individu disahkan positif COVID-19,” katanya.

Kata kenyataan itu, kluster ketiga adalah Kluster Elektronik Bemban di Jasin membabitkan 37 individu yang positif hasil saringan seramai 232 individu.

“Kluster ini melibatkan pekerja kilang di Taman Perindustrian Jasin, Bemban, kes indeks perempuan warganegara berumur 46 tahun positif COVID-19 pada 16 Julai hasil saringan individu bergejala pada 12 Julai.

“Kluster keempat iaitu Kluster DTI Machap Umboo 2 daerah Alor Gajah membabitkan 32 individu yang positif hasil daripada 210 saringan bersasar.

“Kluster ini dikesan hasil saringan bersasar melibatkan tahanan di sebuah pusat tahanan di Jalan Alor Gajah, Selandar Kampung Permai Alor Gajah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

403
Kongsi :
Previous post Aidiladha: ‘COD’ pokok antara alasan cubaan rentas negeri
Next post Kapal korek terbakar, 11 kru selamat
Ubah saiz-+=