Aidiladha: ‘COD’ pokok antara alasan cubaan rentas negeri

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 19 Julai – Pelbagai alasan pelik dan tidak masuk akal diberikan sebahagian 279 pemandu kenderaan yang cuba masuk ke negeri ini untuk meraikan Aidiladha esok.

Pegawai Turus Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka, Deputi Superintendan Nik Ab. Halim Nikmat berkata, pihak polis bagaimanapun terpaksa mengarahkan kesemua mereka berpatah balik

“Antara alasan pelik daripada 1,857 buah kenderaan telah diperiksa kelmarin adalah pemandu nak hantar (COD) pokok bunga dari Kuala Lumpur.

“Malah ada juga yang beri alasan untuk kira stok bekalan di gudang. Semua alasan ini tidak masuk akal dan telah diarah patah balik tanpa dikenakan kompaun,” katanya ketika dihubungi MHI hari ini.

Pegawai Turus Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Kententeraman Awam (JKDNKA), Deputi Superintendan Nik Ab Halim Nik Mat.

Menurutnya, walaupun mereka membawa dokumen kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), namun alasan dan waktu tugasan adalah tidak munasabah.

“Tugasan itu tidak logik, lebih-lebih lagi penampilan mereka tidak seperti mempunyai urusan rasmi syarikat selain dokumen dibawa yang mengelirukan.

“Mungkin mereka ini yang kebanyakannya dari Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan sekadar mahu mencuba nasib meraikan Aidiladha yang disambut esok di kampung halaman,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai bahawa bermula 18 hingga 21 Julai, pihak berkuasa tidak akan menerima dokumen MITI bagi tujuan merentas negeri.

“Ini bagi mengelak ia disalahgunakan untuk pulang berhari raya.

“Malah, pasukan polis negeri juga akan menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah untuk memastikan tiada sebarang aktiviti kunjung-mengunjung sepanjang perayaan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

465
Kongsi :
Previous post Peratusan kehadiran di pejabat sektor awam dinaikkan 40 peratus
Next post COVID-19 : Empat kluster baharu di Melaka
Ubah saiz-+=