Peratusan kehadiran di pejabat sektor awam dinaikkan 40 peratus

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KUALA LUMPUR 19 Julai – Kehadiran di pejabat bagi sektor awam ditingkatkan kepada 40 peratus antara perubahan prosedur operasi standard (SOP) dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Satu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan produktiviti sektor awam, namun tertakluk kepada arahan Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Katanya, kerajaan bersetuju melakukan sedikit perubahan SOP bagi Fasa Satu dan Dua PPN berikutan perkembangan positif terhadap kadar vaksinasi di negara ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Foto fail.

“Di bawah Fasa Satu PPN juga perkhidmatan perakaunan dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60 peratus.

“Selain itu, pengoperasian lombong dan kuari adalah dibenarkan dengan kapasiti pekerja sehingga 60 peratus tertakluk kepada SOP perlombongan dan pengkuarian.

“Ini bagi memenuhi keperluan kepada projek-projek kritikal yang melibatkan pembaikan dan pembinaan jalan raya, jalan luar bandar serta persekutuan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PPN hari ini.

Menurutnya, pelabuhan, lapangan terbang dan sektor logistik juga dibenarkan untuk beroperasi 24 jam.

Beliau berkata, operasi pasar harian dan pasar awam juga dilanjutkan dari 6 pagi hingga 4 petang tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan pematuhan SOP dan pengawasan anggota RELA atau PBT.

“Waktu operasi bagi Pasar Segar Terkawal (PST) pula akan dilanjutkan dari 7 pagi sehingga jam 2 petang,” katanya.

Ismail Sabri berkata, di bawah Fasa Satu PPN kerajaan juga membenarkan aktiviti berbasikal dan permainan individu yang boleh mengamalkan penjarakan fizikal dua hingga tiga meter 2-3 meter tetapi terhad di kawasan kejiranan sahaja.

Sementara itu, katanya, aktiviti yang dibenarkan di bawah Fasa Dua PPN pula ialah penggambaran filem di luar studio dengan pematuhan SOP ketat.

“Selain itu waktu operasi premis perniagaan termasuk ‘specialty stores’ seperti stesen minyak ditetapkan dari 6 pagi hingga 10 malam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

427
Kongsi :
Previous post Solat sunat Aidiladha: Umat Islam dinasihatkan patuh SOP- TPM
Next post Aidiladha: ‘COD’ pokok antara alasan cubaan rentas negeri
Ubah saiz-+=