Kapal tunda terbakar, tujuh kru selamat

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KUALA LINGGI 26 Disember – Sebuah kapal tunda TAG NUR 21 dilaporkan terbakar pada kedudukan kira-kira 2.5 batu nautika barat daya dari Pantai Pengkalan Balak, Melaka semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Maritim Azman Samsudin berkata kejadian berlaku jam 5.10 petang.

“Sebaik menerima maklumat menerusi MERS 999, Bot Benteng 04 Maritim Malaysia telah digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat serta membuat kawalan keselamatan di tempat kejadian.

“Seramai tujuh orang kru kapal berusia 20 hingga 47 tahun berjaya dipindahkan ke kapal tunda berhampiran dengan lima daripadanya warga tempatan, manakala dua lagi warga Indonesia tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Tiada tumpahan minyak dilaporkan berlaku dan pihak kami akan membuat pemantauan berterusan. Pihak syarikat kapal tunda tersebut juga akan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi menyiasat punca sebenar kebakaran,” ujar beliau dalam kenyataan di sini.

Tambahnya kerja-kerja pemadaman api menggunakan ‘water cannon’ dilakukan kapal tunda berdekatan dan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya kira-kira lima jam kemudian.

Azman turut menasihatkan agar komuniti maritim sentiasa peka mengenai keselamatan di laut dan bersiap sedia dengan sebarang kejadian yang tidak diingini di laut bagi mengelakkan kehilangan nyawa serta harta benda.

“Selain itu, Maritim Malaysia juga akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan Zon Maritim Malaysia.

“Orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi 24 jam sehari,” katanya.

 

 

Views:

802
Kongsi :
Previous post Pandelela sambut Krismas di Melaka
Next post Pasukan media Ustaz Ebit Lew kemalangan
Ubah saiz-+=