KASA saran wujudkan sistem pembetungan berpusat di kawasan perindustrian

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

BANDARAYA MELAKA 9 April – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyarankan setiap negeri mewujudkan satu sistem pembetungan berpusat bagi mengawal sisa industri atau efluen dari kilang terlepas ke sungai-sungai utama.

Menterinya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sistem seperti mewujudkan loji rawatan kumbahan berpusat itu amat penting dalam usaha kementerian untuk memelihara kelestarian alam sekitar dan mengurangkan pencemaran.

Katanya, melalui sistem loji kumbahan itu, segala sisa dari kawasan industri akan dirawat terlebih dahulu sebelum dilepaskan ke sungai atau tempat lain sekali gus dapat mengawal pencemaran daripada berlaku ke sungai-sungai seperti sebelum ini.

TUAN Ibrahim (dua dari kiri) mengadakan sidang akhbar selepas majlis perasmian “Melaka Bumi Lestari” sempena Sambutan Hari Air Sedunia, Hari Hutan Antarabangsa dan Hari Bumi Peringkat Negeri Melaka tahun 2021 di Hotel LaCrista, Jalan Hang Tuah, Melaka. Foto: MR. Azli

“Konsep yang kita gunakan ialah secara bersepadu. Jadi, kita harapkan negeri-negeri yang dalam perancangan untuk zonkan kawasan industri untuk mengguna pakai mekanisme ini dalam pelan pembangunan kawasan industri masing-masing.

“Jadi dengan cara ini ia secara tak langsung Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak perlu lagi memantau setiap kilang. Bayangkan ada 200 kilang atau industri dan kesemua kilang itu perlu dipantau JAS.

“Jadi, bila kita ada sistem pembetungan berpusat, efluen dari industri ini akan lebih mudah untuk kita kawal sebelum ia terlepas ke sungai dan berlakunya pencemaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program ‘Melaka Bumi Lestari’ bertempat di Hotel La Crista, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau negeri Datuk Seri Utama Ir. Idris Haron yang mewakili Ketua Menteri; Ketua Setiausaha KASA Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Salhah Salleh serta ketua-ketua agensi kerajaan negeri.

Mengulas penganjuran program mega ‘Melaka Bumi Lestari’ yang merangkumkan sambutan Hari Air Sedunia, Hari Hutan Antarabangsa dan Hari Bumi, Tuan Ibrahim menyambut baik inisiatif berkenaan yang disifatkan selari dengan usaha kerajaan memperkasakan usaha ke arah melestarikan alam sekitar di negara ini.

Sebagai sebuah negeri pelancongan, ujarnya, Melaka wajar mengutamakan pengukuhan aspek pembudayaan itu agar ia menjadi contoh teladan yang baik kepada rakyat dan negeri-negeri lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

650
Kongsi :
Previous post Nicky belum bolos-KPN
Next post MBMB jamin tiada ‘ulat parkir’ di bazar Ramadan
Ubah saiz-+=