MBMB jamin tiada ‘ulat parkir’ di bazar Ramadan

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 9 April. – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memberi jaminan tiada masalah berhubung isu ‘ulat parking’ yang mengaut keuntungan daripada pengunjung di mana-mana bazar mahupun pasar Ramadan di kawasan pentadbirannya.

Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Abu berkata, pihaknya tidak membenarkan mana-mana pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) mengaut keuntungan dengan mengenakan caj parkir kenderaan kepada orang ramai yang mengunjungi bazar mahupun pasar Ramadan yang bakal beroperasi nanti.

Ujarnya, sekiranya ada pihak mengenakan kutipan parkir sepanjang tempoh pasar dan bazar itu beroperasi, orang ramai diminta segera melaporkan kepada MBMB untuk tindakan.

“Kita tidak membenarkannya (kutipan caj pakir) kerana kita tidak mahu rakyat yang kini berdepan dengan masalah ekonomi dalam pasca penularan pandemik COVID-19 bertambah terbeban dan ini langkah prihatin kita bagi memastikan rakyat terus kekal sejahtera.

“Perkara ini memang pernah berlaku di bazar tumpuan utama seperti di Klebang dan pernah ada permohonan di Jalan Hang Tuah, namun kita tak benarkan dan tidak bersetuju dengan perkara ini.

“MBMB memang tidak menyediakan petak parkir untuk pengunjung, namun jika ada isu kekurangan petak parkir kita akan beri perhatian.

“Bagaimanapun kita tidak akan menyaman mana-mana kenderaan dalam tempoh itu disebabkan budi bicara yang diberikan lebih-lebih lagi rakyat yang berdepan dengan situasi pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) Projek Ceritera Melaka di Dewan Taming Sari MBMB di sini hari ini.

Menerusi MoU itu, MBMB menjalin kerjasama dengan lapan agensi bagi membantu mengekalkan kebudayaan dan warisan untuk didedahkan kepada orang ramai.

Dalam perkembangan lain, menurutnya, bagi meningkatkan kesedaran penerimaan suntikan vaksin COVID-19 pihaknya turut mengambil inisiatif bagi menyediakan ruangan khas kepada orang awam bagi mendaftar bagi menerima suntikan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“MBMB turut mengambil pendekatan dengan meletakkan satu sudut khas kepada orang ramai untuk mendaftar suntikan vaksin dan ini sekali gus menunjukkan fungsi pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membantu inisiatif kerajaan untuk rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

744
Kongsi :
Previous post KASA saran wujudkan sistem pembetungan berpusat di kawasan perindustrian
Next post Kaji semula sewa bazar dan pasar Ramadan-MBMB
Ubah saiz-+=