Kasihnya ibu sepanjang masa

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

ALOR GAJAH 28 April – Kasihnya ibu membawa ke syurga, itulah gambaran sayangnya Zarina Mohd Yassin, 57, yang memohon bantuan Rumah Prihatin untuk keselesaan anak lelaki, menantu dan cucunya berteduh.

Zarina berkata, dia menghantar permohonan pada Dis 2020 namun kediaman dibina dengan kos RM37,500 dilengkapi tiga bilik itu mula dibina pada Sept lalu.

“Alhamdulillah saya bersyukur sangat permohonan Rumah Prihatin ini diluluskan, dapatlah anak lelaki saya Muzzamil Hassan, 34, bersama keluarganya duduk di sini.

“Mulanya ingat nak pindah masuk sebelum Hari Raya Aidilfitri, tapi berbaki beberapa hari saja lagi memang sudah tidak sempat. Jadi kami ambil keputusan untuk berpindah ke rumah baharu ini pada Hari Raya Aidiladha nanti, dapatlah beli kelengkapan rumah sikit-sikit.

“Saya kasihan dan simpati melihat nasib anak yang bukan sahaja tidak mempunyai pendapatan tetap malah belum memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahkan Kunci Rumah Prihatin oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Baru, Ngwe Hee Sem, di Kampung Tersusun Melaka Pindah, di sini, hari ini.

Menurutnya, Muzzamil bekerja sebagai pemandu grab di Kluang, Johor untuk menyara isteri dan dua anak masih bersekolah berusia lapan dan 12 tahun.

“Tapak rumah saya beli pada harga RM25,000 sudah agak lama. Memang tak sangka permohonan di Pejabat Daerah Melaka Tengah lulus cepat dan siap sepenuhnya dalam tempoh beberapa bulan,” katanya.

Sementara itu, Hee Sem berkata keluarga tersebut bertuah kerana terpilih menerima rumah itu tanpa perlu mengeluarkan sebarang kos.

“Mereka yang mempunyai tanah boleh memohon dan kelulusan bergantung kepada kelayakan yang ditetapkan.

“Salah satu inisiatif kerajaan negeri menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) adalah memastikan rakyat negeri ini mendiami kediaman selesa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

847
Kongsi :
Previous post Pantai Hospital Ayer Keroh bawa keceriaan kepada anak-anak tahfiz
Next post Pelitup muka wajib di kawasan tertutup sekolah, namun ada pengecualian – Radzi
Ubah saiz-+=