kastam rokok

Kastam P.Pinang rampas 10.2 juta barang rokok seludup

BUTTERWORTH, 10 Ogos – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya merampas sebanyak 10.2 juta batang rokok seludup bernilai RM7.4 juta termasuk cukai dalam serbuan di Pelabuhan Klang, Selangor pada 1 Ogos lepas.

Pengarah Kastam Pulau Pinang Datuk Abdul Halim Ramli berkata bertindak hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan, pihak kastam Cawangan Siasatan Khas bersama Bahagian Penguatkuasaan Pulau Pinang telah menahan sebuah kontena di Pelabuhan Klang pada 1.10 tengah hari.

“Kontena itu kemudiannya telah dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pulau Pinang untuk siasatan lanjut dan pemeriksaan rapi terhadap kontena tersebut telah menemui 1,021 masterclass rokok putih atau seludup yang disyaki tidak berkastam iaitu sebanyak 10.2 juta batang rokok.

“Semua rokok seludup itu bernilai RM816,800 dan melibatkan cukai RM6.542 juta, iaitu rampasan tersebut keseluruhannya membabitkan nilai RM7.4 juta,” katanya pada sidang akhbar di Stor Penguatkuasaan Kastam, di Bagan Jermal di sini hari ini.

Katanya siasatan awal juga mendapati kontena membawa rokok seludup tersebut dikendalikan oleh sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang dan diimport oleh sebuah syarikat yang berstatus sendirian berhad di Kuala Lumpur.

Abdul Halim berkata berdasarkan dokumen yang diperoleh, rokok seludup itu dipercayai berasal dari negara Asia Timur dan pihaknya kini masih menjalankan siasatan lanjut.

Katanya modus operandi yang digunakan syarikat itu adalah dengan mengikrarkan dagangan sebagai cendawan dalam tin dalam bil mereka dan pihaknya juga masih menyiasat mereka membawa masuk rokok seludup tersebut berapa kali sebelum ini.

“Berdasarkan pemeriksaan pihak kami bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati syarikat yang mengimport kontena membawa rokok itu meragui termasuk alamat tidak betul malah kemungkinan menggunakan beberapa maklumat palsu.

“Setakat ini tiada sebarang tangkapan kerana semasa serbuan hanya terdapat ejen perkapalan sahaja, namun saya percaya berdasarkan beberapa maklumat yang kami peroleh akan membawa ke arah penahanan suspek terlibat menyeludup rokok tersebut,” katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat menurut Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 74(1) (e) Akta Eksais 1976.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

831
utem 1 Previous post UTeM-UAE rangka kerjasama pendidikan berimpak tinggi
perdana menteri Next post Kerajaan gesa SPRM segerakan siasatan isu LCS – PM Ismail Sabri