KATA DUA JIKA GAGAL SIAPKAN RESIDENSI KLEBANG 2

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

BANDARAYA MELAKA 4 Oktober – Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak membawa isu kelewatan perumahan Residensi Klebang 2 di bawah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sekiranya projek itu tidak dapat disiapkan selewat-lewatnya awal tahun hadapan.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, ramai pembeli membuat aduan keapda Kerajaan Negeri apabila projek yang mempunyai 800 unit kediaman itu gagal disiapkan sehingga kini.

“Ada yang memaklumkan mereka sudah menunggu lama dan ada juga pembeli yang sudah mula bayar pinjaman perumahan yang dibuat justeru itu saya telah nyatakan sendiri kepada pihak (PR1MA) supaya mereka dapat siapkan dalam kadar segera.

“PR1MA memberi komitmen akan siapkan dalam kadar segera dan dimaklumkan baki (pembinaan belum siap) hanya tinggal tidak sampai dua peratus lagi yang membabitkan masalah infrastruktur.

“Untuk itu, komitmen Kerajaan Negeri yang kita boleh janji kalau masih lagi tidak dapat disiapkan saya terpaksa ambil tindakan sampai ke peringkat kementerian kerana PR1MA milik penuh KPKT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Ekspo Perumahan Dan Hartanah Negeri Melaka (MAPEX) 2024 Edisi Kedua, di Mahkota Parade, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin; Pengerusi Penganjur MAPEX, Datuk Sonny Tay Chor Han dan Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Melaka, Datuk Ngoh Chun How.

Menurut Rais, Kerajaan Negeri memandang serius projek perumahan yang mengalami kelewatan atau gagal disiapkan mengikut tempoh waktu yang ditetapkan kerana perkara itu memberi banyak implikasi termasuk kepercayaan pembeli.

“Di pihak Kerajaan Negeri kita sentiasa membantu pembeli khususnya, sama ada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau LPM kita sentiasa memantau projek-projek perumahan.

“Ini kerana kita tidak mahu pembeli berada dalam keadaan tersiksa atau tertekan ekoran kediaman yang dibeli tidak dapat dihuni dalam tempoh waktu yang sepatutnya malah terpaksa menanggung bebanan pinjaman bank,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1566
Kongsi :
Previous post MELAKA BILA LARUT MALAM EDISI OKTOBER LEBIH MENARIK
Next post MHI ANTARA 66 PASUKAN SAHUT CABARAN MELAKA EXPLORACE 2024
Ubah saiz-+=