MELAKA BILA LARUT MALAM EDISI OKTOBER LEBIH MENARIK

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

BANDA HILIR 4 Oktober – Program Melaka Bila Larut Malam edisi Oktober yang berlangsung malamesok (5 Oktober) dijangka lebih meriah apabila beberapa tarikan baharu diperkenalkan.

Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan, selain menawarkan tiket masuk ke produk pelancongan terpilih pada harga RM10, edisi kali ini turut memperkenalkan Menu RM10 oleh pengusaha restoran dan kafe terpilih dalam usaha merancakkan lagi suasana malam di bumi bersejarah.

Tambah kenyataan itu, edisi Oktober ini turut diserikan dengan Konsert Pujangga Pantun Serumpun yang dibawakan khas oleh Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam dengan kerjasama BPP dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

“Konsert ini akan diadakan di hadapan Bangunan Stadthuys, Banda Hilir bermula pada jam 9 malam hingga 11 malam.

“Program ini dianjurkan bagi memperkasakan lagi budaya Pantun dalam kalangan masyarakat di mana pantun telah diiktiraf sebagai warisan tidak ketara dunia oleh UNESCO pada 17 Disember 2020 di Paris, Perancis,” kata kenyataan tersebut.

Antara produk pelancongan yang menyertai inisiatif Melaka Bila Larut Malam dengan tiket masuk RM10 bermula jam 10 malam hingga 2 pagi adalah Menara Taming Sari, Melaka River Cruise, Muzium di Banda Hilir (Muzium Sejarah, Kompleks Muzium Samudera, Kompleks Muzium Rakyat dan Muzium Belia) serta Cool Ghost Museum Melaka.

Selain itu, inisiatif tiket RM10 itu juga boleh dinikmati pengunjung Zoo Melaka bermula pada jam 9.30 malam hingga 12 tengah malam, selain Malaysia Heritage Studios yang bermula 9 malam hingga 12.30 tengah malam.

Muzium Penjara Malaysia Melaka pula menawarkan tiket masuk serendah RM3 bagi dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak warganegara Malaysia, manakala warganegara asing pada harga RM6 dewasa dan RM3 kanak-kanak bermula jam 11 malam hingga 2 pagi.

Selain itu, Air Panas Jasin (APJ) pula akan beroperasi 8 malam hingga 12 tengah malam dengan harga tiket RM10 (dewasa) dan RM7 (kanak-kanak), manakala Air Panas Cherana Putih (APCP) yang juga beroperasi pada waktu sama menawarkan harga tiket RM7 bagi dewasa dan kanak-kanak.

Sempena Melaka Bila Larut Malam juga, para pelancong dan pengunjung boleh mendapatkan Pakej Khas iaitu setiap pembelian empat tiket masuk secara berkumpulan akan mendapat percuma satu tiket masuk lagi dengan harga RM40 sahaja sempena Program Melaka Bila Larut Malam ini.

Pelancong dan pengunjung juga layak membeli Cenderamata Khas Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang bernilai RM10 di mana pelancong akan menerima ‘Fridge Magnet’ dan kupon diskaun serta Kupon Cabutan Bertuah TMM2024.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

619
Kongsi :
Previous post SMIX2024: FIGURA HEBAT KONGSI KEPAKARAN, KEPINTARAN
Next post KATA DUA JIKA GAGAL SIAPKAN RESIDENSI KLEBANG 2
Ubah saiz-+=