Kawal ketat lapan ‘jalan tikus’ di Kampung Lubuk Redan

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

LUBOK REDAN 15 Mei – Lapan jalan tikus di Kampung Lubuk Redan telah dikenal pasti pihak berkuasa bagi memastikan tiada akses keluar masuk tanpa kebenaran berlaku sebaik Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa tengah malam ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, pihaknya telah menjejaki beberapa jalan terbabit dan penutupan berperingkat telah dijalankan sejak semalam bersama agensi terlibat.

“Kita telah menjejaki lokasi ini dan yakin tiada yang akan melepasi sempadan PKPD apabila ia dilaksanakan bermula tengah malam ini.

“Setakat ini hampir 20 anggota polis akan ditugaskan termasuk pegawai yang melakukan rondaan dan akan dibantu lebih enam anggota tentera,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

 

POLIS menerusi kerjasama JKR terlibat dalam kerja kerja penutupan jalan tikus di Kampung Lubuk Redan.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati, kerja-kerja penutupan jalan tikus berperingkat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa agensi termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) telah beroperasi sejak seawal 3 petang tadi di beberapa batang jalan berdekatan Kampung Lubuk Redan.

Pemerhatian mendapati, ada jalan yang boleh diakses menggunakan kereta malah ada yang hanya menggunakan motosikal menghubungkan beberapa lokasi utama di mukim berkenaan.

Seorang penduduk, Zamri Abu Bakar, 48, berkata antara lapan jalan terbabit mampu menghubungkan Pekan Kuala Sungai Baru, Ramuan China Besar, Ayer Molek, Pekan Masjid Tanah, Pengkalan Balak serta pelbagai lokasi utama lagi.

“Laluan ini telah digunakan berpuluh tahun dahulu yang asalnya merupakan denai laluan sawah padi digunakan penduduk untuk merentas kampung,” katanya.

Setakat semalam, Kampung Lubuk Redan yang menyumbang kepada 34 peratus kes positif COVID-19 menerusi penularan Kluster Kampung Hilir dikhuatiri akan terus merebak dalam komuniti itu.

Perlaksanaan PKPD di kampung yang terletak di pertengahan daripada empat perkampungan boleh menghubungkannya antara Masjid Tanah, Paya Mengkuang dan Kuala Sungai Baru.

Difahamkan PKPD yang dilaksanakan hanya membabitkan Kampung Lubuk Redan dan tidak membabitkan tiga kampung yang lain dan penutupan sempadan hanya sepanjang hampir satu kilometer sahaja.

Penutupan sempadan itu membabitkan di jalan utama (Jalan Lubuk Redan/Masjid Tanah) bermula terletak berdekatan persimpangan Taman Seri Redan sehingga ke Jalan Jambatan Lubuk Redan yang terletak berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Redan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

951
Kongsi :
Previous post Bapa EXCO Pelancongan Melaka meninggal dunia
Next post PKPD Lubuk Redan: Dua bilik gerakan dibuka
Ubah saiz-+=