PKPD Lubuk Redan: Dua bilik gerakan dibuka

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

LUBUK REDAN 15 Mei – Dua Bilik Gerakan telah dibuka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Lubuk Redan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK), Kampung Lubuk Redan, Dr. Ismail Jantan berkata, dua bilik gerakan telah ditubuhkan di kampungnya akan menempatkan pelbagai agensi terlibat termasuk sukarelawan disepanjang tempoh PKPD itu.

Jelasnya, dua lokasi terbabit terletak di Balai Raya Lubok Redan yang akan menjadi lokasi pusat saringan COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala Bilik Gerakan Surau Taman Haji Abdullah Samad dijadikan pusat sehenti agensi terlibat termasuk pusat pengumpulan bekalan makanan penduduk terjejas.

“Seperti bilik gerakan di surau ini ia akan menjadi pusat setempat bagi agensi terlibat dan ia juga dijadikan sebagai pusat setempat penduduk yang memerlukan bantukan bekalan makanan serta pelbagai lagi.

“Pengagihan bantuan akan disalurkan menerusi Sukarelawan Kampung ini yang menjadi perantara antara masyarakat dan agensi terlibat disepanjang PKPD.

“Alhamdulillah, bantuan yang diterima ini cukup dibekalkan kepada penduduk asnaf dan golongan kurang kemampuan yang terjejas di kampung ini hasil daripada sumbangan anak perantau yang sentiasa menyokong dalam usaha memutuskan wabak ini,” katanya.

Tinjauan mendapati, bilik gerakan di surau terbabit telah mula dibuka sejak petang tadi.

Selain itu, tinjauan di Bilik Gerakan KKM yang terletak satu kilometer dari Bilik Gerakan Surau Taman Haji Abdullah Samad mendapati kerja-kerja memuatkan barangan telah dilaksanakan KKM.

Malah, beberapa papan tanda arah juga telah dipasang bagi memastikan penduduk peka dengan lokasi balai raya yang terletak di sebuah jalan kecil di kampung berkenaan.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1248
Kongsi :
Previous post Kawal ketat lapan ‘jalan tikus’ di Kampung Lubuk Redan
Next post Jenazah bapa EXCO Pelancongan Melaka selamat dikebumikan
Ubah saiz-+=