Kealpaan minit akhir dera MU

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KEGAGALAN Melaka United (MU) memanfaatkan aksi di tempat sendiri untuk mengutip tiga mata penuh tatkala menjamu kehadiran Petaling Jaya City FC (PJ City FC) malam tadi disifatkan sebagai satu kerugian yang besar oleh pengendalinya, Zainal Abidin Hassan.

Zainal percaya skuad kendaliannya lebih layak untuk memenangi perlawanan tersebut, namun kealpaan di saat-saat akhir membuatkan mereka didera, sekali gus terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

“Bagi saya ini memang satu kerugian. Kita hilang dua mata yang amat berharga. Selepas membuat beberapa perubahan taktikal di babak kedua, kita berjaya melakukan serangan dan akhirnya menjaringkan gol.

“Namun kealpaan di saat-saat akhir inilah yang mendera kita apabila PJ City mendapat satu-satunya peluang di masa kecederaan dan berjaya menyudahkannya.

“Saya berharap selepas ini pemain dapat memberi fokus penuh sehinggalah wisel penamat dibunyikan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Keputusan seri itu bagaimanapun masih meletakkan Melaka United di kedudukan kelima Liga Super dengan mengutip 11 mata daripada lapan perlawanan.

Justeru, Zainal masih optimis pasukannya mampu mengekalkan kedudukan sekurang-kurangnya di kelompok lima terbaik sebelum saingan liga melabuhkan tirai, awal bulan depan.

“Kita masih ada peluang cuma kuta perlu fokus dan lebih berdisiplin. Daripada empat perlawanan yang dilalui selepas liga bersambung saya melihat mereka telah menunjukkan mutu permainan yang baik. Jadi, saya harap ia diteruskan dalam baki tiga perlawanan terakhir,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih PJ City FC K Devan menganggap perubahan taktikal di minit-minit akhir dengan memasukkan tiga pemain di posisi serangan sebagai ramuan rahsia untuk pasukannya mencuri satu mata di tempat lawan.

“Atas faktor itu kita berjaya mengikat kedudukan dan saya sangat berpuas hati dengan satu mata yang kita perolehi. Pujian perlu diberikan kepada pemain kerana mereka menunjukkan reaksi positif selepas ketinggalan satu gol.

“Jika kita dapat meneruskan rentak sebegini dalam tiga perlawanan terakhir, saya percaya peluang kita untuk kekal di Liga Super musim depan masih cerah,” katanya.

Views:

305
Kongsi :
Previous post Gol minit akhir buat Melaka United berputih mata
Next post Trend ‘Dark Side’ media sosial, polis beri amaran keras
Ubah saiz-+=